Rusli   menunjukkan pelekat GTSP yang akan ditampal di stesen minyak membolehkan orang awam mendapatkan bantuan awal ketika menghadapi kecemasan.
Rusli menunjukkan pelekat GTSP yang akan ditampal di stesen minyak membolehkan orang awam mendapatkan bantuan awal ketika menghadapi kecemasan.
Mohd Fadly Samsudin


Kuala Lumpur: Orang ramai yang berdepan kecemasan atau memerlukan bantuan perubatan ketika berada di stesen minyak boleh meminta bantuan awal daripada petugas di lebih 2,500 cawangan stesen minyak di seluruh negara.

Itu antara perkhidmatan ditawarkan menerusi inisiatif ‘Go-To-Safety-Point’ (GTSP) yang dijalankan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama pengusaha stesen minyak bagi memastikan keselamatan komuniti.

Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Datuk Rusli Ahmad berkata, sehingga kini, 2,596 stesen minyak menyertai program diletakkan di bawah Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS).

Menurutnya, stesen minyak Petron adalah syarikat pertama menyertainya sebagai rakan kerjasama GTSP bermula pada 14 September 2013.

“Kini, 560 stesen minyak Petron sedia menawarkan perkhidmatan terutama ketika orang ramai menghadapi kecemasan seperti terbabit dalam kemalangan, kebakaran kereta, memerlukan bantuan perubatan atau dalam setengah kes mangsa cuba membunuh diri.

“Apabila ada mangsa berada dalam situasi seumpama itu, menjadi tanggungjawab rakan GTSP menenangkan mangsa, menyediakan tempat rehat, menjaga keselesaan mangsa, menghubungi polis serta hospital berdekatan untuk bantuan selanjutnya,” katanya.

Beliau ditemui selepas menyampaikan sijil penghargaan kepada 10 pengusaha stesen minyak Petron yang aktif melaksanakan program GTSP di Selangor, Kedah, Pulau Pinang dan Johor.

Turut hadir, Pengurus Keselamatan, Kesihatan dan Alam Sekitar Petron Lokman Hani dan Ketua Penolong Pengarah Pendataan/Analisa JPJKK Datuk Sun Teoh Tia.

Rusli berkata, pihaknya turut bekerjasama dalam program GTSP itu bersama stesen minyak lain seperti Petronas, Shell, BHP dan Caltex.

Setakat ini, program GTSP dijalankan di 1,065 stesen syarikat Petronas, Shell (960), BHP (11) manakala Caltex yang memiliki 420 stesen dijangka menyertainya tahun ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Mac 2017 @ 7:29 AM