PENGGUNA boleh memanfaatkan mod potrait dan melakukan sedikit pengubahsuaian untuk menghasilkan kualiti imej yang baik.
PENGGUNA boleh memanfaatkan mod potrait dan melakukan sedikit pengubahsuaian untuk menghasilkan kualiti imej yang baik.
Muhammad Saufi Hassan


Umat Islam di negara ini bakal menyambut Aidilfitri dan pastinya ia adalah momen yang sering dinantikan untuk berkumpul sanak saudara.

Bagi tujuan itu, tidak lengkap jika pengguna tidak mengambil peluang berkenaan untuk merakam gambar kenangan bersama orang teristimewa, keluarga tercinta atau sesiapa saja yang memberi makna besar dalam kehidupan seharian.

Mengambil gambar tampak mudah, hanya 'ketik' dan rakaman gambar akan terhasil, namun pengguna perlu mempraktikkan beberapa kaedah ini supaya momen Aidilfitri lebih bermakna dengan keunikan tersendiri.

#ITMetro pada minggu ini menemu bual beberapa penyedia kandungan yang mahir dalam teknik rakaman gambar menggunakan peranti iPhone.

Bagi penyedia kandungan video, Umar Naqshbandi berkata, penggunaan peranti iPhone untuk rakaman video sangat luar biasa kerana visual yang terhasil persis realistik jika dibandingkan dengan peranti lain.

RAKAMAN gambar memerlukan komposisi cahaya dan subjek.
RAKAMAN gambar memerlukan komposisi cahaya dan subjek.

Menurutnya, perkara yang lebih mengagumkan adalah kefungsian mod 'Cinematic' dalam rakaman video dan ia memberi keunikan tersendiri.

"Saya sarankan kepada pengguna untuk cuba bermain dengan mod 'Cinematic' berkenaan kerana ia akan menghasilkan visual yang sangat dinamik khususnya untuk memberi fokus kepada sesuatu subjek.

"Jika pengguna mahu merakam video juadah hari raya juga boleh menggunakan mod ini apabila pengguna disarankan memilih subjek untuk melakukan fokus manakala latar belakang menjadi sedikit kabur, sekali gus menghasilkan visual yang sangat baik.

"Peranti iPhone yang sudah dilengkapi dengan penstabil juga akan memberikan kesan visual yang tidak bergoncang dan klip video berkenaan boleh disunting untuk dimuatkan dalam laman sosial pengguna," katanya.

TETAPAN lensa boleh diubah untuk memberikan julat dinamik mengikut kesesuaian.
TETAPAN lensa boleh diubah untuk memberikan julat dinamik mengikut kesesuaian.

Untuk rakaman gambar potrait, jurugambar terkenal, Muhd Hidayatullah berkongsi bahawa teknik rakaman gambar yang betul boleh digunakan untuk peranti iPhone.

"Kita boleh meningkatkan kualiti gambar potrait keluarga dengan pengubahsuaian yang sangat ringkas dan ia boleh dilakukan sesiapa saja.

"Pertamanya, pengguna perlu mengenal pasti subjek yang ingin ditonjolkan dan menyesuaikan dengan 'frame' peranti.

"Penyesuaian itu boleh dilaksanakan berdasarkan kreativiti pengguna sama ada di bahagian tengah dan kiri kanan seimbang atau sebaliknya," katanya.

Beliau berkata, rakaman gambar potrait ini memerlukan ketepatan masa iaitu untuk rakaman reaksi subjek secara spontan.

Menurutnya, reaksi spontan berkenaan akan memberikan nilai tambah dalam rakaman gambar potrait, sekali gus memberikan 1001 kenangan untuk Aidilfitri kali ini.

Sementara itu, wartawan fotografi, Annice Lyn berkata, mod potrait yang sudah terbina dalam peranti iPhone berkenaan memberikan 1001 kelebihan kepada pengguna.

Katanya, menerusi kapasiti sensor 48 megapiksel (MP) untuk lensa utama peranti ini membolehkan sebarang momen dirakam dengan sempurna dan indah.

PENGGUNAAN iPhone untuk merakam gambar menghasilkan imej lebih menarik.
PENGGUNAAN iPhone untuk merakam gambar menghasilkan imej lebih menarik.

"Pengguna tidak perlu takut untuk bermain dengan lensa telefoto 2x kerana ia akan memberikan nilai tambah dalam perspektif sesuatu gambar yang terhasil.

"Mod kamera berkenaan perlu disesuaikan dengan keadaan serta latar tempat supaya satu gambar yang mempunyai keunikan tersendiri dapat dihasilkan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 April 2024 @ 7:01 AM