PERANTI iPhone 14 Plus menawarkan saiz skrin 6.7 inci sesuai untuk kepuasan pengguna. - FOTO Google
PERANTI iPhone 14 Plus menawarkan saiz skrin 6.7 inci sesuai untuk kepuasan pengguna. - FOTO Google
Muhammad Saufi Hassan


PENAWARAN variasi skrin 6.7 inci menjadi taruhan baharu untuk Apple menerusi siri iPhone 14 Plus mereka iaitu saiz yang sama dengan peranti iPhone 14 Pro Max.

Ia sekali gus menjadikan iPhone 13 Mini sebagai generasi terakhir untuk peranti bersaiz 'mini' berkenaan dan memperkenalkan variasi 'Plus' dengan skrin yang lebih luas.

Sebenarnya, penulis sememangnya ternanti-nanti Apple mengeluarkan peranti bersaiz sama dengan Pro Max kerana kebanyakan pengguna hari ini sangat cenderung untuk memiliki peranti skrin bersaiz besar.

Ia sangat berkait rapat dengan tugasan rutin harian dan kebanyakan daripada pengguna menjadikan peranti iPhone mereka sebagai 'mini' laptop.

Sebelum menyentuh aspek spesifikasi, penulis cuba menguji kamera iPhone 14 Plus ini dan dibandingkan dengan siri iPhone 13, perbezaan sekitar 30 hingga 50 peratus khususnya bagi gambar pencahayaan kurang.

Bagi pengguna yang gemar mengambil gambar atau memuat naik kenangan indah di laman sosial, pemilihan iPhone 14 Plus sebagai naik taraf peranti terdahulu adalah satu pilihan yang bijak.

Rakaman gambar pada waktu malam adalah sangat mengagumkan untuk kelasnya termasuk setiap butiran terperinci khusus bagi gambar artistik adalah sangat jelas tanpa 'noise'.

Variasi kali ini juga, Apple memperkenalkan mod baharu untuk rakaman video iaitu mod aksi atau 'action mode' yang membolehkan video dalam keadaan stabil.

Secara lebih mudah, ia umpama pengguna merakam video menggunakan gimbal, semuanya stabil dengan gegaran yang sangat minimum.

Walaupun rakaman video itu dilakukan ketika berlari, menuruni atau menaiki tangga dan sebagainya, hasil video adalah stabil persis penggunaan gimbal.

Bagi variasi iPhone 14 dan iPhone 14 Plus, ia masih mengekalkan takuk dan hanya variasi Pro atau Pro Max saja yang didatangkan dengan 'Dynamic Island' menggantikan rekaan takuk.

RAKAMAN gambar ketika pencahayaan kurang tetap jelas dan subjek berjaya dirakam dengan butiran terperinci. - FOTO Google
RAKAMAN gambar ketika pencahayaan kurang tetap jelas dan subjek berjaya dirakam dengan butiran terperinci. - FOTO Google

MOD malam juga menghasilkan gambar dengan tiada kesan 'noise'. - FOTO Google
MOD malam juga menghasilkan gambar dengan tiada kesan 'noise'. - FOTO Google

Menyentuh aspek keluasan skrin, peranti ini didatangkan dengan 6.7 inci bersama paparan Super Retina XDR dengan resolusi 2778 x 1284 piksel.

Binaan bahagian depan menggunakan pelindung seramik manakala bahagian belakang adalah rekaan aluminium dan kaca.

Pengguna boleh memilih tiga variasi storan iaitu bermula daripada 128GB, 256GB dan 512GB dan peranti ini mendapat perakuan IP68 sekali gus mampu bertahan dengan kedalaman air enam meter sehingga 30 minit.

Peranti iPhone 14 Plus ini menggunakan cip pemproses A15 Bionic yang dilengkapi dengan enam teras CPU bersama dua teras prestasi dan empat teras efisien.

Bagi iPhone 14 plus ini, ia mengekalkan sistem dua kamera iaitu lensa utama berkeupayaan masing-masing 12 megapiksel dan menghasilkan rakaman gambar yang mengagumkan terutamanya untuk pencahayaan kurang.

Secara keseluruhannya, iPhone 14 Plus ini masih yang terbaik dalam kelasnya khusus bagi pengguna yang mahu menaik taraf namun tidak mempunyai bajet yang cukup untuk memilih variasi Pro atau Pro Max.

Ketahanan bateri juga adalah sangat baik iaitu mampu bertahan seharian walaupun penggunaan optimum.

Saiz skrin yang luas memberi kelebihan kepada peranti ini dan ia adalah faktor penentuan kepada pengguna untuk memilikinya berbanding pesaing yang lain.

Spesifikasi

Pemproses: Apple A15 Bionic

Kamera: 12MP + 12MP

Skrin: 6.7 inci Super Retina XDR

Storan: 128GB / 256GB / 512GB

Penilaian penulis

Keupayaan kamera: 5 / 5

Bateri: 4.5 / 5

Rekaan: 5 / 5

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 November 2022 @ 6:45 AM