PERANTI ini juga mampu melancarkan semua jenis aplikasi dan permainan.
PERANTI ini juga mampu melancarkan semua jenis aplikasi dan permainan.
Muhammad Saufi Hassan


ELEGAN, pembuatan bahan daripada gred angkasa, 'Dynamic Island' dan cip berkuasa. Itu empat kombinasi utama yang boleh menggambarkan peranti pintar ikonik keluaran Apple iaitu generasi iPhone 15.

Untuk pengenalan iPhone pada September lalu, variasi iPhone 15 paling banyak mendapat penambahbaikan termasuk pengenalan kepada 'Dynamic Island', sekali gus menggantikan rekaan takuk untuk generasi sebelumnya.

Penulis melakukan ujian terhadap peranti berkenaan termasuk keupayaan lensa dan hasilnya amat mengagumkan.

Prestasinya persis iPhone 14 Pro atau Pro Max, namun menggunakan 'badan' iPhone 15 dan lebih mencuri tumpuan adalah kewujudan 'Dynamic Island' untuk variasi berkenaan yang sebelum ini hanya menggunakan takuk.

Pengalaman permainan juga amat baik apabila semua genre bertaraf AAA mampu menggunakan talaan kesan grafik tahap tertinggi atau ultra.

Peranti juga tidak mengalami kesan terlalu panas di bahagian belakang walaupun melancarkan aplikasi permainan lebih 30 minit.

Variasi iPhone 15 ini juga beroperasi dengan tahap paling optimum walaupun membuka pelbagai tetingkap tanpa sebarang masalah kelengahan atau sebagainya.

Prestasi kamera juga amat mengagumkan apabila mampu beroperasi tidak mengira keadaan dan suasana, malah menerusi beberapa imej terlihat gambar yang dirakam begitu terperinci.

Dua variasi iPhone 15 iaitu daripada generasi iPhone 15 serta iPhone 15 Plus didatangkan dengan 'Dynamic Island' bersama-sama sokongan pengecas USB-C.

Menerusi pengenalan dua variasi peranti pintar keluaran peneraju teknologi terkemuka, Apple, awal pagi tadi memperlihatkan bahawa semua generasi iPhone 15 kini menyokong keupayaan 'Dynamic Island'.

Bagi dua variasi berkenaan, ia didatangkan dengan saiz skrin 6.1 inci serta 6.7 inci dengan cip pemproses A16 Bionic yang digunakan untuk generasi iPhone 14 Pro serta Pro Max.

Peranti ini juga dilengkapi dengan lensa 48 megapiksel (MP) bersama-sama lensa dua kali telefoto yang memberikan hasil rakaman imej lebih jelas tidak mengira keadaan.

Sesuai dengan kepenggunaan pada masa kini, iPhone 15 serta 15 Plus ini dilengkapi mod potrait generasi lanjutan yang memberikan penambahbaikan khusus untuk rakaman imej ketika pencahayaan kurang.

Untuk pertama kalinya, pengguna tidak perlu lagi menukar mod potrait ketika membuka kamera sebaliknya operasi berkenaan dilaksanakan secara automatik apabila peranti itu menerima maklumat mengenai imej di hadapan.

Selepas itu, pengguna boleh menukar imej berkenaan menerusi 'photos app' di iPhone, iPad atau Mac serta menjadikan potrait yang mengagumkan.

Pada masa sama, ia juga akan menawarkan sambungan jaringan 5G yang laju serta stabil sesuai dengan keperluan pengguna pada hari ini.

Peranti ini ditawarkan dalam lima pilihan warna iaitu 'Pink,' 'Yellow,' 'Green,' 'Blue' dan 'Black' bersama storan 128 hingga 512GB dengan tanda harga bermula RM4,399 untuk variasi iPhone 15 dan RM4,899 bagi iPhone 15 Plus.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 Oktober 2023 @ 6:46 AM