Memperkenalkan 'Dynamic Island' dan pemerkasaan tiga lensa di bahagian belakang menjadi taruhan terbaharu Apple menerusi peranti pintar paling ikonik mereka iaitu iPhone 14 Pro dan Pro Max.
Seperti yang dijangka sebelum pelancaran siri iPhone 14 Pro dan versi Pro Max, Apple secara rasminya sudah menamatkan rekaan takuk untuk dua variasi premium mereka dan memperkenalkan 'pill shape' yang dikenali sebagai Dynamic Island.
Ia bukan sekadar satu rekaan berbentuk pil saja, namun Apple bijak memanfaatkan rekaan berkenaan untuk dijadikan satu medium notifikasi dan ia berbentuk interaktif.
Berdasarkan pandang pertama, penulis boleh katakan ini adalah peranti pintar keluaran Apple yang terbaik pernah dihasilkan dengan kepelbagai fungsi termasuk pemerkasaan lensa dan mod gambar serta rakaman.
Apple juga tidak pernah mengecewakan dalam aspek rekaan luarkan dan padanan spesifikasi kerana setiap aspek kemasan adalah sangat sesuai atau 'well-placed' manakala spesifikasi pula bertepatan dengan keperluan pengguna pada hari ini.
Pengenalan rakaman untuk mod aksi atau 'Action Mode' juga adalah sangat tepat malah pengguna tidak lagi memerlukan perkakas tambahan seperti gimbal sebaliknya siri iPhone 14 sudah mampu 'meresap' gegaran dengan mod berkenaan.
Berdasarkan rekaan luar untuk dua variasi iPhone ini, ia dilengkapi dengan pelindung seramik di bahagian depan manakala belakang adalah 'textured matt glass' dengan rekaan 'stainless steel' menambah ciri premium dua model ini.
Saiz skrin untuk iPhone 14 Pro adalah 6.1 inci manakala bagi variasi Pro Max adalah 6.7 inci bersama tetapan panel paparan Super Retina XDR OLED.
Sesuai dengan peranti kelas prestasi tinggi, dua variasi ini dilengkapi dengan cip pemproses A16 Bionic iaitu cip enam teras bersama dua teras prestasi dan empat teras kecekapan peranti.
Selain itu, cip ini juga dilengkapi dengan lima teras unit pemproses grafik (GPU) bersama 16 teras Neural Engine.
Untuk dua variasi ini, ia masih mengekalkan tetapan tiga lensa iaitu lensa utama berkapasiti 48 megapiksel (MP) dengan 24 milimeter (mm) bersama bacaan F/1.75 Aperture bersama sensor generasi kedua penstabilan imej optikal.
Lensa utama juga dilengkapi dengan lensa 'seven-element' termasuk 100 peratus piksel fokus.
Bagi lensa kedua pula, ia dilengkapi dengan 12MP sudut ultra lebar bersama 13mm bersama bacaan F/2.2 Aperture dan sudut pandangan 120 darjah dengan lensa enam elemen.
Lensa ketiga pula adalah 12MP tiga kali Telefoto dengan 77mm bersama bacaan F/2.8 Aperture dan berkeupayaan untuk penstabilan imej.
Rakaman gambar malam menggunakan peranti ini juga sangat mengagumkan apabila imej yang terakam memberi kesan taburan warna yang pelbagai iaitu gambar yang diambil tidak terlalu terang tetapi sesuai dengan keadaan ia dirakamkan.
Untuk ulasan pandang pertama ini, penulis boleh katakan untuk setiap generasi iPhone, Apple tidak pernah gagal memberi satu hakikat sebenar peranti pintar malah ia adalah 'game changer' untuk semua peranti pintar.
Walaupun ada cakap-cakap yang mengatakan iPhone tidak mengalami banyak perubahan, namun penulis merasakan bahawa perubahan yang dibawa kali ini adalah sesuai dan tidak berlebih-lebihan sehingga memudaratkan peranti dalam jangka panjang.