Dua variasi iPhone 15 iaitu daripada generasi iPhone 15 serta iPhone 15 Plus didatangkan dengan 'Dynamic Island' bersama-sama sokongan pengecas USB-C.
Menerusi pengenalan dua variasi peranti pintar keluaran peneraju teknologi terkemuka, Apple, awal pagi tadi memperlihatkan bahawa semua generasi iPhone 15 kini menyokong keupayaan 'Dynamic Island'.
Bagi dua variasi berkenaan, ia didatangkan dengan saiz skrin 6.1 inci serta 6.7 inci dengan cip pemproses A16 Bionic yang digunakan untuk generasi iPhone 14 Pro serta Pro Max.
Peranti ini juga dilengkapi dengan lensa 48 megapiksel (MP) bersama-sama dengan lensa dua kali telefoto yang memberikan hasil rakaman imej lebih jelas tidak mengira keadaan.
Sesuai dengan kepenggunaan pada masa kini, iPhone 15 serta 15 Plus ini dilengkapi dengan mod potrait generasi lanjutan yang memberikan penambahbaikan khusus untuk rakaman imej ketika pencahayaan kurang.
Untuk pertama kalinya, pengguna tidak perlu lagi menukar mod potrait ketika membuka kamera sebaliknya operasi berkenaan dilaksanakan secara automatik apabila peranti itu menerima maklumat tentang imej di hadapan.
Selepas itu, pengguna boleh menukar imej berkenaan menerusi 'photos app' di iPhone, iPad atau Mac serta menjadikan potrait yang mengagumkan.
Pada masa sama, ia juga akan menawarkan sambungan jaringan 5G yang laju serta stabil sesuai dengan keperluan pengguna pada hari ini.
Peranti ini ditawarkan dalam lima pilihan warna iaitu 'Pink', 'Yellow', 'Green', 'Blue' dan 'Black' bersama storan 128 hingga 512GB dengan tanda harga bermula RM4,399 untuk variasi iPhone 15 dan RM4,899 bagi iPhone 15 Plus.