KEUPAYAAN AI ini terus dipertingkatkan mengikut perubahan teknologi semasa.
KEUPAYAAN AI ini terus dipertingkatkan mengikut perubahan teknologi semasa.
Muhammad Saufi Hassan


DUNIA teknologi pada hari ini sudah diperkenalkan dengan satu 'perkakas' yang sangat berkuasa iaitu ChatGPT yang dibina OpenAI pada Disember 2022.

Teknologi Kecerdasan Buatan (AI) Generatif ini bukan saja memudahkan pengguna sebaliknya membuka dimensi baharu.

Kini, AI Generatif berkenaan sudah diperluaskan sebagai enjin carian maklumat, enjin janaan gambar dan bermacam lagi keupayaan.

Platform ini dikuasakan dengan bot perbuatan (chatbot) AI dan menjawab sebarang pertanyaan daripada pengguna.

Berbeza dengan platform enjin carian, setiap kata kunci yang dicari memaparkan ratusan juta atau bilion maklumat dalam satu saat secara bercampur aduk, namun itu tidak berlaku jika menggunakan ChatGPT.

ChatGPT hanya memaparkan maklumat yang dicari pengguna dan menjawab setiap pertanyaan yang berkaitan soalan pengguna.

Nama ChatGPT itu adalah daripada 'Chat - Generative Pre-Training Transformer (Pengubah Generatif Pra-Latihan)', sekali gus nama ringkasnya adalah ChatGPT.

Hakikatnya ia adalah perkakas internet yang paling menjadi tumpuan pada masa kini dan menjadi 'tools' penting pada masa depan untuk pengguna internet.

Platform ChatGPT ini mengubah landskap kepenggunaan internet dan pengguna tidak lagi perlu berserabut dengan jutaan atau bilion maklumat yang mahu dicari sebaliknya hanya menggunakan ChatGPT, setiap persoalan itu dijawab berdasarkan soalan dan tidak lagi menggunakan 'relatable keyword'.

Enjin carian konvensional menggunakan kata kunci yang berkaitan untuk memaparkan carian dan keadaan itu agak 'berserabut' bagi pengguna kerana perlu menekan setiap satu pautan yang dipaparkan.

KEMUNCULAN teknologi geratif AI memberi kemudahan kepada manusia.
KEMUNCULAN teknologi geratif AI memberi kemudahan kepada manusia.

Bagaimanapun, ketika penulis menguji ChatGPT dengan maklumat berasaskan statistik, ada kelemahan yang agak ketara memandangkan kebanyakannya adalah data lama.

Bagaimanapun, platform ini berasaskan kepada AI dan setiap input yang diberikan pengguna ditambah baik oleh sistem AI itu sendiri pada masa depan.

Presiden Persatuan Pengguna Siber Malaysia (MCCA) Siraj Jalil berkata, ChatGPT ini adalah perkakas paling berkuasa untuk masa depan khusus bagi pengguna internet kerana ia memaparkan jawapan berasaskan kepada soalan pengguna.

"Walaupun pada ketika ini, ChatGPT masih diperingkat 'latihan' dan bukan versi penuh lagi, namun ia sudah memberi kesan kepada pengguna khususnya yang mahu mencari maklumat spesifik.

"Pada ketika ini, ChatGPT ini boleh kita katakan 'masih belum matang', namun hasil teknologi AI ini, ia akan belajar dengan sendiri setiap carian pengguna dan menjadikan carian lebih komprehensif pada masa depan.

"Platform ini sangat berbeza dengan enjin carian seperti Google dan sebagainya kerana platform konvensional berkenaan memaparkan kata kunci berkaitan yang bersifat pelbagai," katanya.

TEKNOLOGI AI akan terus berkembang menjadi kognitif AI tidak lama lagi.
TEKNOLOGI AI akan terus berkembang menjadi kognitif AI tidak lama lagi.

Siraj berkata, untuk ChatGPT, ia hanya memaparkan maklumat yang dicari pengguna seumpama pengguna sedang berbual dengan seseorang berkenaan sesuatu topik.

"Contoh mudah adalah saya taip 'Apa itu lohong hitam,' jika saya menggunakan soalan berkenaan menerusi platform enjin carian, ia akan memaparkan bilion maklumat berkaitan dengannya seperti jurnal, berita, penemuan dan kajian pakar.

"Jika saya taip soalan berkenaan menerusi ChatGPT, ia akan memaparkan jawapan asas berkenaan lohong hitam atau fakta berkenaan lohong hitam tanpa paparan kelam-kabut," katanya.

Menurutnya, perkakas ChatGPT ini menjadi lebih berkuasa pada masa depan apabila sistem AI yang digunakan sudah matang dengan kepelbagaian maklumat terkini.

Katanya, ini juga adalah salah satu daripada aspek revolusi industri 4.0 apabila semuanya bersifat automasi dan penggunaan AI secara menyeluruh.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Februari 2024 @ 6:20 AM