TREND teknologi terkini menunjukkan kematangan platform AI dan ML.
TREND teknologi terkini menunjukkan kematangan platform AI dan ML.
Muhammad Saufi Hassan


Persidangan terkemuka yang mengumpulkan semua pemain utama industri mula membukakan tirainya dan kali ini tumpuan terarah kepada trend teknologi sepanjang tahun ini.

Sempena Persidangan Mudah alih Sedunia (MWC) di Barcelona, Sepanyol yang dilaksanakan secara tahunan dan ini kali pertama 'kembali' selepas dua tahun dilakukan secara atas talian serta skala yang lebih kecil akibat pandemik Covid-19.

Pastinya, adaptasi teknologi 5G serta masa depan jaringan telekomunikasi akan memberi tumpuan yang besar di samping masa depan serta teknologi Kecerdasan Buatan (AI) dan ChatGPT itu adalah daripada 'Chat - Generative Pre-Training Transformer (Pengubah Generatif Pra-Latihan)'.

Pada minggu ini, #ITMetro akan menyenaraikan beberapa trend teknologi terkini yang akan berkembang serta menjadi fokus kepada segmen teknologi secara menyeluruh.

ChatGPT

Ini adalah teknologi yang sedang hangat diperkatakan pada ketika ini khususnya apabila perkhidmatan ini sudah mencapai kematangannya.

Ini bukan sekadar platform enjin carian baharu namun keupayaannya menulis skrip laman web serta bermacam lagi memberikan masa depan yang besar bagi platform berkenaan.

Pastinya apabila sampai tempoh kematangan platform ini, ia akan menenggelamkan enjin carian konvensional.

Kecerdasan buatan (AI) dan Machine Learning (ML)

Sejak sedekad yang lalu, orang ramai sudah memperkatakan dengan AI dan sejak daripada itu, pelbagai evolusi sudah berlaku untuk teknologi ini.

Berdasarkan trend semasa, ia tidak menunjukkan pengurangan minat orang awam malah industri turut sama-sama membangunkan AI mereka sendiri sesuai dengan keperluan semasa.

Pada hari ini, teknologi AI yang paling popular adalah pengenalan imej serta suara, program navigasi, pembantu suara (Seperti Siri dan Alexa) dan pelbagai lagi aplikasi atau alat bantu pengguna menerusi AI ini.

Kemajuan AI ini juga akan terus dibangunkan serta ia mampu untuk menganalisis pelanggan, kelakuan pengguna dan berinteraksi mengikut kesesuaian.

Untuk ML pula, ia adalah sebahagian daripada AI namun terarah kepada analisis sesuatu senario dan memberi solusi kepadanya menerusi kefungsian baharu.

Proses Automasi Robot (RPA)

Ini juga adalah salah satu kemajuan teknologi yang semakin berkembang pesat khususnya untuk kegunaan industri dalam skala yang besar.

RPA menggunakan pelbagai perisian serta aplikasi untuk menjadikan urusan harian dalam sesebuah industri secara automasi dengan pengumpulan data serta analisis.

Perkhidmatan pelanggan yang melalui tugasan berulang menggunakan khidmat RPA ini sekali gus menjadikan ia lebih sistematik.

Berdasarkan satu laporan pakar industri, RPA ini bertanggungjawab untuk menggantikan lima peratus pekerjaan pada hari ini yang menggunakan khidmat manusia.

Realiti Maya (VR) dan Realiti Tambahan (AR)

VR dan AR ini sudah muncul kira-kira sedekad lalu dan mungkin tiada siapa yang menyangka ia bakal merubah landskap pembelajaran pada masa depan.

Contohnya, teknologi berkenaan digunakan untuk latihan simulasi kapal maya oleh Tentera Laut Amerika Syarikat (AS).

Untuk rekod, pada 2019, sebanyak 14 juta unit AR serta VR dijual sekali gus menjadi trend terkini.

Dua teknologi ini juga dijangka akan berintegrasi dengan kehidupan harian tidak lama lagi malah mungkin latihan sesetengah industri juga akan menggunakan kaedah berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Februari 2023 @ 7:00 AM