FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Agensi

Dubai: ChatGPT ternyata bukan saja dibuat untuk penulis, kini pengusaha restoran turut menggunakan chatbot kecerdasan buatan (AI) itu untuk mencipta resipi.

Dodo Pizza di Dubai menyajikan hidangan diinspirasikan daripada resipi yang disyorkan oleh chatbot itu.

Apabila chef Spartak Arutyunyan menaip piza untuk pelanggan Dubai di laman bot, ia menghasilkan resipi yang memaparkan lamb kofta (sejenis hidangan popular di Timur Tengah) pada doh nipis dengan sos diperbuat daripada tahini dan sumac.

Chatbot OpenAI, yang digunakan untuk menulis esei, puisi dan surat kiriman itu turut mengesyorkan taburan zaatar (sejenis herba) di atas piza.

"Saya memerlukan bantuan kreatif pada piza saya, jadi saya meminta ChatGPT untuk membantu dan mencipta piza terbaik untuk UAE (Emiriah Arab Bersatu)," kata Arutyunyan dalam rakaman video yang menunjukkan pembuatan piza.

Ia akan menjadi sebahagian daripada menu Dodo Pizza milik Rusia yang membuka cawangan baharu di Dubai Marina, pada 18 Februari.

"Saya mahu membuat sesuatu yang istimewa untuk pembukaan kedai pertama di Dubai kerana ia langkah besar untuk kami melancarkannya di sini," katanya.

Chef mengubah resipi ChatGPT, memilih untuk menggunakan ayam dan bukannya kambing dengan limau, paprika dan rempah lain kerana ayam adalah bahan lebih popular selain kambing sangat sukar dicari.

Dodo Pizza mempunyai restoran di lebih 15 negara dan sebahagian daripada Dodo Brands yang mempunyai dua jenama lain di bawah kendaliannya, kedai kopi DrinkIt dan Doner 42.

Ia bukan kali pertama AI digunakan untuk menjana resipi. Sebuah video oleh The New York Times menunjukkan ChatGPT boleh menghasilkan resipi pada November tahun lalu, membawa kepada ulasan suram mengenai hidangan oleh pengkritik makanan.

"Saya tidak fikir ia akan menggantikan rasa, intuisi yang diperlukan dan jiwa yang menjana resipi," kata wartawan Priya Krishna dalam video itu.

Bagaimanapun, ini tidak menjejaskan fakta bahawa ramai orang beralih kepada AI untuk cadangan resipi. Berikutan populariti ChatGPT, ChefGPT dilancarkan oleh OpenAI.

Platform itu bertujuan mengesyorkan resipi dan rancangan makanan dan orang ramai tidak perlu lagi risau mengenai apa untuk makan malam.

Dua minggu selepas pelancaran platform pada Januari, ia mengumpulkan 40,000 pengguna dan menjana lebih daripada 35,000 resipi, menurut pemajunya Stefano Cantu yang juga pengurus pemasaran di firma mata wang kripto Binance.

Platform ini mempunyai mod berbeza dengan akses penuh berharga AS$2.99 (kira-kira RM13.24), yang meminta butiran pengguna termasuk bahan tersedia untuk mereka, sebelum menjana cadangan hidangan.

Salah satu mod ialah bot khusus yang boleh menjana resipi berdasarkan keperluan makronutrien pengguna.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 Februari 2023 @ 1:05 PM