Canon perkenal generasi lensa sudut ultra lebar baharu.
Canon perkenal generasi lensa sudut ultra lebar baharu.
Oleh Muhammad Saufi Hassan


Pengeluar perkakas kamera terkemuka, Canon Marketing Malaysia (Canon) mengumumkan perkakas baharu mereka dengan lensa daripada generasi RF.

  Menerusi pengenalan berkenaan, Canon memperkenalkan lensa RF10-20mm f/4L IS STM iaitu lensa sudut ultra lebar dengan keupayaan pemasangan RF.

  Perkakas ini menawarkan sudut pandangan yang lebih luas daripada EF11-24mm f/4L USM sedia ada dengan kualiti imej mengagumkan dan 'Penstabil Imej Optik' terbina (Optical IS).

  Ia dibina dalam rekaan kerangka lensa yang jauh lebih kecil, manakala beratnya kurang daripada separuh versi EF. 

  Menerusi lensa itu juga, ia meningkatkan keupayaan mudahalih sekali gus bolehb digunakan dengan gimbal atau pelantar untuk memberikan perspektif sinematik baharu, atau sebagai pilihan tambahan untuk mendaki dan trek. 

  Pengarah Bahagian Perniagaan Komunikasi Imej, Canon Marketing Malaysia, Hunter Zhang berkata, pihaknya memahami keperluan jurugambar khususnya untuk julat fokus.

  "Lensa RF10-20mm f/4L IS STM terkini, ia memanjangkan barisan kanta zum dalam julat f/4L, memberikan gabungan aksesori kamera terbina gred profesional sambil meningkatkan kebolehcapaian julat fokus ini kepada jurugambar," katanya.

  Menerusi sistem pemfokusan lensa, termasuk motor STM dan lensa pemfokusan, ia direka bentuk untuk mengoptimumkan prestasi AF.

  Ini memastikan pemfokusan pantas semasa fotografi pegun, bersama-sama dengan pemacu AF berketepatan tinggi, licin dan senyap semasa rakaman video.   

  Prestasi adalah setanding daripada EF11-24mm f/4L USM termasuk menggunakan penderia kedudukan lensa yang digunakan dalam kanta Nano USM.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 Oktober 2023 @ 2:25 PM