Muhammad Saufi Hassan


Meneruskan tradisi kerjasama serta perkongsian ilmu dalam kalangan komuniti pengimejan digital, Canon melalui inisiatif 'EOS Master' memperkenalkan 17 penyokong kamera.

  Inisiatif ini akan memperlihatkan penganjuran pelbagai aktiviti, bengkel, seminar dan pameran sepanjang tahun.

  Pendekatan itu juga akan menjadi titik tolak yang lebih interaktif antara individu kreatif yang bercita-cita besar termasuk golongan yang baru berjinak dengan dunia fotografi profesional.

  Barisan EOS Master tahun ini menampilkan 17 jurugambar dan juruvideo terkenal dengan rekod kerjaya cemerlang dan telah mencipta impak berkekalan dalam industri kreatif.

  Mereka dipilih kerana kepelbagaian pengalaman, pengaruh dalam komuniti tempatan dan semangat yang dikongsi bersama terhadap kreativiti.

  Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Canon Marketing Malaysia, Masato Yoshiie berkata, pendekatan itu sudah bermula sejak tahun lalu dan meneruskan inisiatif berkenaan pada tahun ini.

  "Bakat serta semangat mereka dalam bidang sinematografi dan pengkaryaan imej selari dengan komitmen kami terhadap inovasi.

  "Kami sangat berbesar hati kerana pakar dalam industri ini sudi untuk bersama-sama dengan kami dalam usaha memperkukuhkan lagi kedudukan jenama kami dan memberi inspirasi kepada generasi baharu jurufoto dan juruvideo yang bercita-cita besar di negara ini.

  "Kami bersemangat untuk melaksanakan misi yang dikongsi bersama dengan EOS Master ini bagi membuka potensi ekspresi kreatif dan memperkasakan individu di seluruh negara untuk merakam dan berkongsi detik yang paling indah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 Februari 2024 @ 11:29 PM