Yusliza Yakimir Abd Talib

KESAKITAN pada tapak kaki atau plantar fasciitis sering diabaikan kerana beranggapan masalah itu hanyalah sakit urat biasa atau kepenatan kesan daripada kegiatan harian.

Lazimnya sakit tapak kaki sangat tajam dan terletak di pangkal tumit, tapi ia juga boleh tersebar ke seluruh tapak kaki. Keadaan ini berlaku kerana kecederaan mikro dan keradangan pada tisu tapak kaki yang menyebabkan sakit, bengkak dan lebam.

Mungkin anda pernah berasa sakit pada waktu pagi apabila bangun daripada tidur dan semasa mengambil langkah pertama selepas tempoh berehat yang panjang.

Anda juga mungkin mengalami bengkak dan kesakitan apabila menyentuh tisu tapak kaki dengan kuat.

Mengabaikan sakit tapak kaki boleh menyebabkan sakit menjadi kronik dan memberi kesan pada kehidupan harian seseorang. Anda juga boleh mendapat masalah pada kaki, lutut, pinggul atau belakang kerana sakit tapak kaki membawa kepada perubahan cara berjalan anda.

Menurut juruterapi fisio dari Pusat Fisioterapi World Renaissance Faiezatul Aiza Zainal Abidin, senaman ringan boleh mengurangkan sakit untuk sementara.

Katanya, berjalan untuk tempoh lama sering membuat sakit tapak kaki semakin teruk dan merehatkan kaki biasanya dapat mengurangkan kesakitan.

“Kadang kala sakit dirasai apabila melakukan regangan pada tisu tapak kaki. Anda mungkin berjalan dengan tempang atau tidak dapat menanggung berat badan pada kaki yang terjejas.

“Elakkan memakai kasut longgar dengan tapak nipis atau mempunyai sokongan yang lemah pada bentuk kaki,” katanya.

Menurutnya, rawatan fisioterapi penting untuk mempercepatkan proses penyembuhan, memastikan hasil yang optimum dan mengurangkan kemungkinan sakit berulang.

Katanya, juruterapi biasanya akan melakukan penilaian pada kaki, membantu melegakan kesakitan, meningkatkan fleksibiliti otot, meningkatkan kekuatan otot dan juga membantu anda merancang kembali aktiviti harian apabila gejala beransur pulih.

Faiezatul menunjukkan beberapa senaman mudah untuk membantu meringankan kesakitan dan mencegah kecederaan masa depan.

Regangan betis

1. BERDIRI satu kaki di depan dan satu kaki di belakang dengan kedua-dua tangan di dinding.

2. GERAKKAN badan ke depan tanpa mengangkat tumit kaki di belakang. Tahan selama 10 saat dengan ulangan sebanyak tiga kali.

SENAMAN regangan betis.
SENAMAN regangan betis.

Regangan otot belakang paha

3. LETAKKAN satu kaki di atas kerusi.

SENAMAN regangan otot belakang paha.
SENAMAN regangan otot belakang paha.

4. CUBA sentuh kaki yang di atas kerusi menggunakan tangan dan rendahkan badan bagi mencapai hujung jari kaki.

SENAMAN kaki 4
SENAMAN kaki 4

5. ULANGI langkah (4) dengan kaki sebelah lagi. Tahan selama 10 saat dan diulang tiga kali.

SENAMAN kaki 5
SENAMAN kaki 5

Urutan sendiri

6. DENGAN menggunakan dumbel (boleh juga gunakan bola tenis atau bola golf), gerakkan kaki ke depan dan belakang. Pergerakan ini boleh dilakukan selama dua ke tiga minit.

URUTAN sendiri
URUTAN sendiri

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 September 2019 @ 5:10 AM
SENAMAN mudah bantu ringankan kesakitan, cegah kecederaan berulang.
SENAMAN mudah bantu ringankan kesakitan, cegah kecederaan berulang.