Siti Zarinah Sahib


SEBENARNYA banyak peralatan di sekeliling boleh digunakan sebagai bebanan senaman. Tidak semestinya peralatan di gimnasium seperti bola dan dumbel sahaja sebaliknya tuala yang sering digunakan untuk mengelap peluh mampu menjadikan regangan bertambah baik.

Bagi suri rumah pula sambil mengelap dapur atau meja boleh menjadikan tuala sebagai satu bahan eksperimen sekali gus memperbaiki pergerakan anggota badan. Tidak kisah bagaimana anda memulakannya kerana pada pengakhirannya peluh harus mengalir, badan bertambah sihat dan jiwa bertambah ceria.

Menurut jurulatih kecergasan Adasandha Anuar, senaman yang menyeronokkan tidak berpandukan kepada satu arah sahaja. Sebaliknya individu boleh mempelbagaikan menggunakan peralatan yang ada di sekeliling mereka.

“Asalkan ia tidak membahayakan atau menyebabkan pergerakan bertambah buruk. Apa sahaja peralatan yang ada di ruang tamu, bilik tidur dan dapur boleh digunakan,” katanya.

Sambil menunjukkan pergerakan ringkas menggunakan tuala jelas Adasandha, senaman ini menggunakan tangan serta kaki dan membabitkan keseluruhan anggota.

SENAMAN YANG BOLEH DILAKUKAN DI RUMAH

1. Ketika memberus gigi

Untuk memastikan anda tidak mengantuk pada waktu pagi, senaman cangkung atau squat boleh dilakukan ketika sedang memberus gigi. Ini dapat menguatkan lutut sekali gus mengurangkan risiko arthritis. Mulakan dengan bilangan yang sedikit seperti enam kali setiap hari. Apabila sudah menjadi kebiasaan, tingkatkan bilangan sedikit demi sedikit.

2. Menonton televisyen

Sambil menonton drama, angkat kaki setinggi boleh ataupun paling kurang sehingga 45 darjah dari lantai menggunakan kekuatan paha.

3. Di dapur

Ketika membantu isteri memasak anda boleh melakukan tekan tubi di dinding. Ia dapat meningkatkan stamina dan juga kekuatan tangan,

4. Elak menggunakan mesin

Lakukan pergerakan mencuci lantai, membasuh baju dan menumbuk cili menggunakan tangan. Ini dapat memastikan kesemua otot anda dapat digerakkan.

5. Berdiri sebelah kaki

Seterusnya cuba untuk berdiri dengan sebelah kaki sahaja. Cara ini dapat mengukuhkan kawalan saraf sekitar buku lali, lutut dan pinggul. Ia turut membantu dalam menstabilkan tubuh badan sendiri.

LANGKAH DEMI LANGKAH

1. BERDIRI tegak. Pegang tuala menggunakan kedua-dua belah tangan dan bawakan ke hadapan. Luruskan tangan anda.

2. DALAM posisi sama angkat kedua tangan

ke atas. Kemudian turunkan seperti gambar 1. Lakukan sebanyak lapan kali dalam tiga pengulangan secara cepat.

LANGKAH 1 dan 2
LANGKAH 1 dan 2

3. BERDIRI tegak. Tangan masih memegang tuala di atas.

4. PERLAHAN-LAHAN turunkan kaki bengkokkan lutut dan bawa tuala ke belakang leher (seperti dalam gambar). Biarkan seketika sebelum melakukan pengulangan dalam kiraan lapan. Lakukan sebanyak tiga kali.

LANGKAH 3 dan 4
LANGKAH 3 dan 4

5. DALAM posisi duduk dengan kedua kaki bengkok ke hadapan. Pegang tuala seperti anda sedang memandu kereta. Pusing badan ke kiri sambil memegang tuala.

LANGKAH 5
LANGKAH 5

6. DALAM posisi sama tukar arah ke kanan lakukan pengulangan sebanyak tiga kali dalam kiraan lapan. Senaman ini bagus untuk mengecilkan kaki dan lengan.

LANGKAH 6
LANGKAH 6

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Ogos 2019 @ 4:40 AM
SENAMAN menggunakan tuala. FOTO: Halimaton Saadiah Sulaiman
SENAMAN menggunakan tuala. FOTO: Halimaton Saadiah Sulaiman