Siti Nadirah Hafidzin


SERONOK melihat semakin ramai anggota masyarakat kita yang mula rajin bersenam. Ada yang berbasikal, bergerak laju, berjalan pantas dan berlari anak, semua itu mengikut kemampuan masing-masing. Ada yang membawa anak kecil yang masih berbaju tidur, tidak kurang juga berjalan santai menemani ibu dan bapa yang sudah tua.

Ada yang selesa bersendirian tetapi ramai lebih suka beriadah bersama rakan atau ahli keluarga untuk saling memberi semangat. Tidak kira apa pun corak aktiviti, yang penting ramai sedar kepentingan senaman dalam menjaga kesihatan dan memastikan kekal bertenaga sepanjang hari.

Namun ramai yang tidak sedar selain perlu mengetahui langkah senaman yang sesuai dengan objektif dimahukan, mereka juga perlu belajar langkah senaman penutup atau regangan merehatkan untuk dilakukan setiap kali selepas selesai bersenam.

Menurut jurulatih senaman Hannie Salliana Salim, kepentingan regangan merehatkan itu sebenarnya sangat penting kerana ia mempengaruhi keadaan badan secara keseluruhan selepas selesai bersenam.

“Ramai yang semakin mahir dengan langkah senaman asas namun sering terlupa atau tidak tahu mereka juga perlu melakukan regangan merehatkan selepas bersenam.

“Ada yang mengadu badan menjadi semakin penat dan sakit-sakit setiap kali bersenam walhal mereka sebenarnya tertinggal langkah penting sesudah bersenam,” katanya.

Menurut Hannie Salliana, jangan mengabaikan langkah itu kerana tubuh manusia memerlukan tempoh bertenang yang diisi dengan regangan merehatkan, bukan terus duduk berehat melepaskan penat.

“Tiada langkah regangan yang khusus namun ia perlu dilakukan dalam gerakan tenang, lembut, bersahaja dan tidak keterlaluan.

“Anda boleh melakukannya sambil berdiri, duduk atau berbaring. Apa yang penting ia boleh memberi kerehatan kepada badan,” katanya.

Katanya, dia juga menyarankan supaya setiap individu menghafal langkah regangan merehatkan itu selain mempraktikkannya setiap kali bersenam.

Hannie Salliana berkongsi langkah mudah regangan menenangkan yang menggabungkan posisi berdiri, duduk dan berbaring.

LANGKAH SENAMAN YANG BETUL

1. BERDIRI tegak sambil kaki dijengketkan sedikit, kedua-dua tangan diangkat ke atas sambil menarik serta menghembus nafas perlahan-lahan.

2. MASIH dalam posisi berdiri, luruskan sebelah kaki ke depan manakala sebelah lagi ke belakang.

REGANGAN 1 dan 2
REGANGAN 1 dan 2

3. BENGKOKKAN sebelah kaki dan bertahan dalam kiraan 10 diikuti sebelah lagi kaki.

4. ANGKAT lutut sehingga paras pinggang dan bertahan.

REGANGAN 3 dan 4
REGANGAN 3 dan 4

5. LAKUKAN regangan badan ke kiri dan ke kanan.

6. RENDAHKAN sedikit badan ke bawah dan pusing ke kiri dan ke kanan.

REGANGAN 5 dan 6
REGANGAN 5 dan 6

7. DALAM posisi berbaring, angkat kedua-dua lutut ke atas sambil menarik dan menghembus nafas.

REGANGAN 7
REGANGAN 7

8. DALAM posisi meniarap, angkat badan ke atas dan bertahan menggunakan tangan.

REGANGAN 8
REGANGAN 8

9. BERDIRI semula, tarik nafas dan hembus sambil kepala digerakkan ke kiri dan ke kanan.

REGANGAN 9
REGANGAN 9

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 September 2019 @ 5:10 AM
GERAKAN penting kerana pengaruhi keadaan badan secara keseluruhan selepas bersenam.
GERAKAN penting kerana pengaruhi keadaan badan secara keseluruhan selepas bersenam.