AZIE memantau pekerja membuat lapisan pada kek lapis.
AZIE memantau pekerja membuat lapisan pada kek lapis.

Bermula dengan sifar menjadikan seseorang lebih kuat menghadapi kehidupan lebih-lebih lagi dalam bidang perniagaan. Bukan sahaja pernah bergelut dengan keadaan ekonomi yang tidak menentu sehingga terpaksa menjual van yang menjadi pengangkutan utama penghantaran rotinya pada 2002.

Malah pemilik Azie Bakery & Traning Centre, Nor Azizah Abdullah, 41, pernah melepaskan kedainya dan beroperasi di rumah dalam tempoh beberapa tahun sebelum memilikinya semula pada 2006.

Nor Azizah berkata, sebelum memulakan perniagaan, dia menimba ilmu dengan bekerja di kedai membuat roti dan kek selama dua tahun selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Katanya, pada masa itu usianya baru 18 tahun, tanpa sebarang ilmu dalam bidang pembuatan kek, kini ibu kepada dua anak berusia 11 dan 13 tahun itu boleh berbangga apabila mempunyai ejen sendiri dalam penjualan kek lapisnya.

“Saya bermula dari kosong. Selepas berhenti kerja di kedai kek pada 1998, saya mengikuti kursus membuat dan menghias kek di Kota Damansara.

“Kursus yang diambil itu membolehkan saya menjadi tenaga pengajar bahagian dekorasi kek. Kini selain mengusahakan pelbagai jenis kek khususnya kek lapis, saya juga mengadakan kelas untuk membuat dan menghias kek,” katanya ketika ditemui di kedainya di Pusat Perdagangan Kempas, Johor.

Menurut Nor Azizah atau lebih mesra disapa Azie, modal permulaan perniagaannya hanya RM5,000 yang disumbangkan oleh keluarganya. Sebab itulah, dia sangat menghargai pengorbanan keluarga yang banyak memberi sokongan. Lantaran itu juga, dia perlu terus berusaha bersungguh-sungguh memajukan perniagaannya supaya pengorbanan keluarga tidak sia-sia.

“Kalau dulu persaingan lebih kepada orang Tionghoa tetapi kini kesedaran dalam kalangan umat Islam untuk mencari roti dan kek keluaran Bumiputera yang halal sangat membantu.

“Masa mula dulu, memang agak susah hendak cari pembekal bahan kek sebab pada ketika itu saya masih baru dalam bidang ini. Namun sekarang semua bahan kek diambil dari pembekal bagi mendapatkan harga yang lebih murah.

“Mana-mana perniagaan pasti ada cabaran dan risiko tetapi kita perlu melihat semua itu dari sudut positif dan berfikiran terbuka,” katanya yang menghasilkan lebih 25 jenis kek lapis.

Menyentuh mengenai risiko perniagaan, Azie berkata, makanan seperti kek mempunyai risiko dari segi ketahanan. Jika tidak disimpan pada suhu bilik, ia boleh bertahan selama seminggu saja berbanding enam bulan jika dimasukkan dalam peti sejuk.

Katanya, pembuatan kek lapis berbeza dengan kek perkahwinan atau kek hari lahir yang tarikan adalah dekorasi selain rasa yang sedap.

“Kek lapis ini bergantung kepada rasa, kelembutan dan juga lapisan yang dibuat. Setiap buku kek lapis mengambil masa 75 minit untuk disiapkan kerana perlu proses melapis itu memakan masa dan perlu dibuat selapis demi selapis.

“Bagi mendapatkan rasa yang enak dan lembut, saya gunakan 28 hingga 32 biji telur ayam bagi setiap buku kek lapis. Satu lagi bahan yang penting ialah mentega asli khususnya bagi kek premium.

“Kek lapis yang paling banyak sambutan antaranya ialah prun, beri biru, asam manis, betawi rempah dan coklat,” katanya yang mempunyai dua orang pekerja tetap. - Omar Ahmad

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Mei 2017 @ 12:33 PM