KEK keju tular yang dihasilkan.
KEK keju tular yang dihasilkan.
SYAHADI berjaya membuktikan minatnya mampu menjadi kerjaya.
SYAHADI berjaya membuktikan minatnya mampu menjadi kerjaya.
Intan Mas Ayu Shahimi


Tidak hairan jika ada wanita mengambil keputusan mengorbankan kerjaya untuk berniaga kek dari rumah. Malah ramai golongan ibu hari ini melakukannya dengan alasan mahu memiliki lebih waktu bersama anak, mengecilkan saiz perbelanjaan pergi dan balik ke pejabat serta mengembangkan bakat dalam dunia pastri.

Itulah keputusan diambil Syahadi Mohamad Arif, 39, kira-kira 14 tahun lalu. Walaupun ketika itu dia masih bujang, pemegang Diploma Kejuruteraan Elektrik ini nekad meninggalkan kerjaya sebagai juruteknik demi meneruskan minat dalam pembuatan kek.

Menurut anak kedua daripada empat beradik ini, dia tidak mempunyai sebarang ilmu asas dalam pembuatan kek mahupun pastri, tetapi mempunyai pengalaman membekalkan makanan ke hospital.

“Saya terjun ke bidang ini kerana minat. Ketika masih bekerja, saya sudah mula berjinak-jinak dalam dunia perniagaan dengan membekalkan roti dan kek kepada tiga hospital sekitar Lembah Klang.

“Pada masa sama, saya juga mengambil kursus jangka pendek menerusi penulis blog luar negara dan belajar bagaimana menghasilkan kek keju enak serta berkualiti. Hanya bersandarkan daripada pengalaman itulah, saya memberanikan diri untuk berniaga,” katanya.

Bercerita mengenai minatnya terhadap manisan, Syahadi berkata, ibunya memang suka membuat kuih. Manakala dia pula sukakan karipap sardin hasil air tangan wanita paling disayangi itu.

“Memang asal minat daripada mak. Memandangkan karipap sardin cukup susah untuk dibuat, suatu hari mak cadangkan supaya saya mencuba sendiri. Dua ke tiga minggu juga saya mengambil masa untuk buat sampai jadi. Sejak itu, mak tidak pernah lagi membeli karipap,” katanya tertawa.

RESIPI KEJU ASLI

Sejak mula berniaga pada 2003, Syahadi mengakui banyak dugaan terpaksa ditempuhi dengan hati waja demi membuktikan kebolehan diri kepada keluarga dan orang di sekeliling.

“Apabila saya berhenti kerja, kedua-dua orang tua menunjukkan reaksi tidak suka dan kecewa. Mereka menentang hasrat saya untuk menceburi bidang pembuatan kek dan pastri. Bayangkan, ketika itu, dalam akaun cuma ada baki RM2,000. Itulah wang yang hendak dijadikan modal dan menyara hidup. Memang saya terumbang-ambing di awal permulaan.

“Keadaan semakin buruk apabila saya sendiri bersikap malu-malu hendak menjual. Idea pula terbatas dengan perkara yang saya tahu saja. Syukur pada Allah SWT, saya bukan jenis yang mudah berputus asa.

“Saya ikut seminar Dr Azizan Osman pada 2009 dan belajar meyakinkan orang. Dari situlah saya mula mendekatkan diri dengan pelanggan dan akhirnya berjaya mengubah sedikit demi sedikit hala tuju perniagaan,” katanya.

Kata Syahadi, dia diajar supaya lebih banyak memberi daripada menerima dan masih kekal dengan konsep sama hingga kini. Membuka kotak fikiran seluasnya dan mula berfikir secara kreatif.

“Andai dulu saya hanya mempunyai satu teknik (membuat kek keju), sekarang saya semakin seronok menguji kreativiti diri dengan menghasilkan lebih 40 jenis kek keju, biskut ‘meringue’ 13 perisa dan Lekor Chip lima perisa.

“Sebelum ini saya hanya nampak kek keju, tetapi sekarang saya berinovasi dengan satu resipi untuk mempelbagaikan jenis kek keju itu sendiri. Produk pertama saya adalah Kek Keju Lava. Saya cedok resipinya daripada perkongsian penulis blog. Hari ini banyak asas resipi diolah mengikut cita rasa sendiri, namun saya juga masih menghasilkan kek keju asli,” katanya.

PEMILIK KEK TULAR

Kata Syahadi, dia memang sengaja menggunakan media sosial untuk memperkenalkan pilihan kek keju enak untuk pelanggan dan mereka yang berminat mencari wang sampingan.

“Ketika mula-mula tular, ada pelanggan yang terkejut apabila tahu pemilik Like Chef adalah lelaki. Sebenarnya memang ramai cef lelaki dalam bidang ini, tetapi saya bukanlah tergolong dalam kelompok yang mendapat pendidikan formal (dalam bidang pembuatan kek dan pastri).

“Saya hanya mengembangkan minat. Tapi ada ramai yang memanggil saya cef. Mungkin kerana pengaruh jenama yang saya guna. Bagaimanapun, saya tetap berusaha menjadi usahawan profesional. Masa banyak dihabiskan di kedai, dua kali sebulan saya akan duduk mengolah resipi baru dan kemudian mencurah ilmu kepada pekerja di dapur.

“Mereka semua perlu dilatih supaya cekap mengendalikan mesin, resipi dan tempahan. Lebih-lebih lagi jika kami menggunakan resipi baru,” katanya.

Sebagaimana kebanyakan peniaga lain, Syahadi juga perlu meletak kepercayaan tinggi terhadap pekerja dan mengajar mereka segala kemahiran diperlukan ketika di dapur.

“Sekarang banyak kek yang saya hasilkan berkait dengan keju dan coklat. Perniagaan juga makin stabil. Kalau dulu, bila ada resipi bagus, saya kedekut hendak berkongsi. Tapi sekarang saya lebih terbuka untuk berkongsi resipi. Saya anggap ia sebagai sedekah jangka panjang.

“Ada juga ejen yang bertanya mengenai resipi, saya beri tanpa rasa bimbang. Jika mereka dapat manfaatkan untuk menjana pendapatan, kenapa tidak? Namun, dalam keadaan ekonomi hari ini, ramai peniaga mengakui tidak mampu mengkomersilkan jualan kek keju mereka dari rumah kerana kos bahan asas yang tinggi.

“Keadaan mereka berbeza kerana saya mempunyai kedai dan berhubung terus dengan pengimport keju. Sebab itu saya masih mampu menghasilkan kek berkualiti dengan kos lebih rendah. Keuntungan juga masih baik.

“Jadi, daripada bersusah payah mengeluarkan modal yang tinggi dan membazirkan masa dan tenaga, ramai peniaga kek keju dari rumah mendaftar sebagai ejen Like Chef. Mereka berniaga tanpa syarat yang ketat. Ada ramai yang mengambil stok kek keju di sini dan meletak label perniagaan mereka. Itu tidak jadi masalah pada saya,” katanya.

Jelas Syahadi, dia juga tidak menganggap peniaga kecil-kecilan sebagai pesaing kerana tahu kepayahan golongan itu untuk meraih keuntungan.

“Sepanjang berniaga, saya tidak terlalu memikirkan soal pesaing. Bagi saya, kalau hendak difikirkan, memang kita tidak akan maju. Justeru, mudahnya saya anggap saja tidak ada pesaing.

“Saya sendiri berkongsi resipi dengan pengusaha kedai kek lain. Alhamdulillah, tidak ada masalah. Mereka tahu apa yang patut dan tidak patut dilakukan sesama peniaga.

“Cuma, apa yang saya perasan, jatuh bangun kita biasanya bergantung kepada komen orang sekeliling menerusi media sosial. Individu yang menjatuhkan peniaga kadang-kadang adalah pelanggan itu sendiri. Mereka suka memuat naik komen mengutuk dan mengeji produk orang lain. Ini sebabnya ramai peniaga Melayu tersungkur. Sepatutnya, jika ada kesilapan, pelanggan perlu kembali kepada penjual, bukan memuat naik ke media sosial,” katanya.

BERTERIMA KASIH PADA KELUARGA

Dalam rancak berbicara, Syahadi berkali-kali mengimbau riak kecewa ibu bapanya ketika dia berhenti kerja. Emosi orang tersayang yang pernah dicalar suatu masa dulu menguatkan lagi tekad dirinya untuk berjaya.

“Sehingga kini, saya sentiasa sematkan dalam diri untuk terus berusaha gigih demi meraih kembali kepercayaan mereka. Dua tahun saya cuba buktikan usaha sebagai pembekal kepada hospital. Malah, apabila sudah membuka kedai, mereka masih tidak cukup yakin.

Apatah lagi saya pernah kerugian ratusan ribu ringgit kerana ditipu.

“Hari ini, apabila perniagaan mula menunjukkan hasil dan kemajuan, saya tersentuh melihat senyuman mereka. Nampak mereka mula yakin dengan usaha saya selama 14 tahun ini.

“Tidak kira emak, ayah, isteri dan anak, semua memainkan peranan penting dalam memastikan kejayaan saya hari ini. Keluarga sentiasa menjadi tulang belakang saya untuk terus meningkat naik. Walaupun bimbang dan pernah kecewa, namun mereka selalu ada tidak kira di waktu sukar atau senang,” katanya.

Bagi lelaki ini, dia yakin setiap pekerjaan yang dilakukan dengan minat dan fokus boleh mengecap kejayaan besar di masa akan datang.

“Kita mungkin jatuh dan tersungkur di sepanjang jalan untuk berjaya. Tetapi minat akan terus menjadi pendorong terbaik untuk kita sampai ke akhirnya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 November 2017 @ 3:08 PM