MARIANTI menunjukkan karipam pelbagai warna.
MARIANTI menunjukkan karipam pelbagai warna.
Oleh Mohd Sabran Md Sani


Bentuknya seakan karipap dan cara pembuatan kuih berwarna ini antara yang membezakannya.

Tidak seperti biasa, karipap lembut pelbagai warna ditampilkan di hadapan penulis hanya berintikan kacang merah dan kaya.

Itulah idea kreatif usahawan bakeri, Marianti Mohd Ali, 36, dalam mengkomersialkan karipap apam atau karipam.

Menggunakan istilah menentang arus atau ‘derhaka’ terhadap resipi, ternyata ia memberi impak besar kepada kuih yang diolah mengikut cita rasa sendiri.

Bekas kakitangan sebuah firma akauntan di Batu Pahat, Johor, itu kini berbangga apabila resipinya semakin dikenali dan diterima ramai.

Kuih karipamnya kini menjadi viral kalangan penduduk Johor, terutama untuk tempahan majlis perkahwinan dan musim perayaan.

Anak kelahiran Parit Lapis Semarang, Parit Raja itu berkata, tidak ramai yang sanggup mengambil risiko berhenti kerja di kala kerjaya berada di kemuncak.

Namun, itulah pengorbanan dan risiko yang berani dilakukan ibu kepada lima anak ini dalam membesarkan anak-anak.

“Keputusan berhenti kerja bukan dibuat secara tergesa-gesa, sebaliknya sudah mengambil kira banyak perkara.

“Bagaimanapun, saya yakin andai kata kita ada kemahuan kuat, semua halangan boleh diharungi demi mencapai kejayaan,” katanya.

Status suri rumah juga antara faktor menyebabkan dia selesa mengambil keputusan itu apatah lagi banyak masa dapat diluangkan bersama keluarga.

Awalnya dia berjinak-jinak dalam bidang pembuatan kek, pastri dan kuih muih hingga hasil tangannya kian dikenali.

Malah, ketika bekerja dulu, dia sanggup mengambil cuti tahunan bagi mengikuti kursus bakeri.

“Selalunya kursus diadakan pada Sabtu dan ada masanya saya mengambil cuti tahunan untuk mengikuti kelas berkenaan.

“Saya sanggup memandu seorang diri ke Johor Bahru demi memenuhi keinginan.

“Demi menimba ilmu, saya menguatkan semangat mengikuti pelbagai kursus bagi memantapkan lagi kemahiran bakeri,” katanya.

Berkenaan kuih karipap apam olahannya itu, Marianti mengakui ia bertitik tolak daripada perasaan ingin mencuba.

“Saya tertarik dengan rasa, kelembutan dan keenakan kuih karipap berwarna yang dijual seorang rakan.

“Dari situ saya mengikuti kursus pembuatan karipap berkenaan dengan bayaran RM35 untuk separuh hari,” katanya.

Katanya, teori pembuatan karipap apam dipelajari ketika itu tidak memenuhi seleranya.

“Semua yang diajar sudah saya buat termasuk resipi, tetapi tidak sempurna keadaannya.

“Saya mengolah resipi menggunakan tangan sendiri termasuk sukatan, selain suka ‘menderhaka resipi’ (tidak mengikut resipi asal),” katanya.

Karipap apam yang diolah juga, akuinya memerlukan kesabaran, selain tidak boleh dibuat dalam keadaan tergesa-gesa.

“Ramai menyangka ia dikukus, sebaliknya hanya menggunakan pan kecil.

“Jika terlebih serbuk penaik yang dicampur tepung gandum, ia sukar dibentuk,” katanya.

Idea mewarnakan karipap apam dalam pelbagai warna asalnya juga bagi membezakan inti, namun kini ia bertujuan menarik perhatian pelanggan.

Marianti turut menerima tempahan pastri dan kek sempena majlis hari jadi dan perkahwinan, selain pulut kuning.

Mereka yang berminat untuk mengetahui lebih lanjut mengenai kuih karipap apam boleh melayari laman Facebook: Yan’s Delicious Bakery.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Mac 2015 @ 10:26 AM