ANNE ingin menjadi pembuat kek terkenal dunia.
ANNE ingin menjadi pembuat kek terkenal dunia.
Siti Zarinah Sahib

SENTUHAN magis wanita ini setiap kali menghasilkan kek tempahan pelanggan pasti menarik perhatian ramai. Mana tidaknya jika diikutkan tidak terbayang dek akal apabila dia mampu menjual sekotak kek pada harga puluhan ribu ringgit dan kek termahal pernah dihasilkan mencecah ratusan ribu ringgit. Apakah bahan digunakan sehingga pelanggan sanggup membayar pada harga yang tidak masuk akal?

Terbaru pemilik nama sebenar Siti Saleha Idris atau lebih dikenali sebagai Anne Idris berjaya menyiapkan kek harimau seberat 18 kilogram menggunakan teknik semburan warna atau air brush pada harga RM15,000.

Menurut Anne, itu kali pertama dia menerima tempahan kek berbentuk haiwan dan perlu menyiapkannya dalam masa ditetapkan. Berpandukan lakaran di kertas, Anne menghasilkan bentuk haiwan menggunakan fondant sebelum membuat salutan coklat di luarnya.

“Saya mengambil masa empat jam membuat lakaran bentuk harimau dan disimpan di dalam peti sejuk terlebih dulu. Selepas empat jam, saya melakukan teknik semburan warna menggunakan warna jingga dan hitam seakan-akan warna bulu harimau sebenar,” katanya.

Mengakui penghasilan kek harimau itu sangat mencabar kerana haiwan ini berada dalam posisi duduk, dia perlu berhati-hati dan teliti agar ia tidak ‘lari’ daripada kedudukan asal.

Untuk mendapatkan hasil yang tepat, Anne mencari gambar menerusi Google sebelum menjadikan gambar itu sebagai rujukan.

“Mulanya saya meletakkan harga RM3,800 sahaja, tetapi pemilik kek sanggup membayar RM15,000 selepas melihat hasilnya yang sangat menyentuh hati. Ia bukan kek biasa-biasa sebaliknya dihasilkan menerusi kemahiran, kecekapan dan pengalaman.

Berdasarkan keupayaan saya menghasilkan kek dengan sepenuh jiwa, pemilik kek sanggup membayar melebihi harga yang sudah ditetapkan,” katanya gembira.

Menerima jolokan sebagai pembuat kek viral dan kek termahal di Malaysia, Anne mengakui untuk mencapai tahap sekarang dia bergelumang pelbagai cabaran sebelum melayakkannya menerima pelbagai anugerah.

Mula menjalankan perniagaan sejak 13 tahun lalu, wanita kelahiran Taiping, Perak ini mengakui ketika membuka My Mum’s Bakery, dia langsung tiada ilmu dalam bidang mencabar ini. Ketika itu minat berniaga memang sudah ada namun dia tidak tahu cabang perniagaan yang perlu diceburinya.

BERSAMA kek harimau berharga RM15,000.
BERSAMA kek harimau berharga RM15,000.

“Dulu saya pernah menceburi bidang peragaan. Berbekalkan sedikit modal, saya mula membuka kedai kek hanya bersandarkan resipi ibu tercinta. Mula-mula saya menghasilkan kek krim mentega dan menjual di kedai saja.

“Oleh kerana tiada ilmu dalam perniagaan, saya langsung tidak mengambil tahu mengenai pemasaran dan hubungan dengan pelanggan. Akibatnya, perniagaan jatuh merudum hingga terpaksa menjual kereta. Kedai pula terpaksa ditutup dan berhutang ceti untuk melangsaikan hutang lama,” katanya.

Melihat ibu yang terpaksa berjalan tanpa kenderaan ke kedai kek, Anne sangat sedih. Dia bertekad membangunkan kembali perniagaan kek sehingga berjaya menjadi pembuat kek paling terkenal di Malaysia.

“Dalam kesedihan saya merenung kembali kekurangan dan mula muhasabah diri. Saya mula membuat perancangan dan tidak mahu menyerah kalah kerana sudah pun bermula, rugi sekiranya membiarkan perniagaan ini berkubur begitu saja,” katanya yang mula bangkit mengatur strategi bagi membangunkan semula My Mum’s Bakery.

Daripada usahawan yang mempunyai kedai, Anne mengambil langkah lebih drastik dengan menjual kek di pasar tani menerusi bantuan FAMA. Dia juga mempromosikan kek buatan tangannya dari satu pejabat ke pejabat lain. Hasilnya Anne mampu mengumpul modal untuk membina perniagaannya semula.

Berbekalkan modal Tekun Nasional sebanyak RM50,000, dia mula membina jenamanya sendiri dengan menjual menerusi dalam talian. Sedikit demi sedikit pelanggan mempercayai kek dihasilkan.

Sambung pelajaran tambah ilmu

Meminati seni hiasan kek berbentuk figura, dengan hanya berbekalkan pengalaman dan minat Anne berasakan apa yang diperoleh sepanjang lima tahun belum cukup bagi mengembangkan perniagaannya.

Berbekalkan minat, Anne kemudian menyambung pengajian dalam bidang Diploma Antarabangsa Sugarcraft dan Dekorasi Kek di Square Kitchen yang menggunakan tenaga pengajar dari United Kingdom sepenuhnya.

“Sepanjang menuntut ilmu di situ, banyak yang dipelajari terutama dalam kelas membuat kek dan hiasan. Ia bukan sekadar latihan amali tetapi cara menghasilkan sesuatu figura itu sangat penting agar ia nampak 100 peratus asli. Saya belajar bersungguh-sungguh sesuatu teknik supaya apabila menerima tempahan pelanggan saya mampu menghasilkan kek dengan lebih baik,” katanya.

Kejayaan pertama dalam bidang seni hiasan kek apabila menghasilkan kek perkahwinan selebriti Anzalna dan Amyra Rosli yang mendapat perhatian ramai. Kemudian bakatnya digilap apabila dia berjaya menyiapkan kek bawal eksklusif bernilai RM15,900 diikuti kek perkahwinan Swarovski pertama di Malaysia berharga RM47,000.

Pengalaman dan juga kebolehannya tidak hanya di situ apabila Anne turut diberi peluang menghasilkan rekaan kek untuk Raja Arab Saudi, Raja Salman, Abdul Aziz Al Saud yang dipersembahkan di Seri Perdana Putrajaya pada 2017.

“Saya tidak sangka mampu berada sehingga ke tahap ini. Kepercayaan dan keyakinan orang ramai menjadi pembakar semangat untuk menghasilkan sesuatu yang lebih baik daripada apa yang saya ada. Setiap kali menerima tempahan pelanggan, saya akan cuba lakukan yang terbaik. Alhamdulillah apa juga yang diminta saya berjaya menghasilkannya,” katanya.

Berbekalkan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), penerima Anugerah Usahawan Cemerlang Tekun Nasional 2017 ini percaya usaha gigih dan tidak menyerah kalah membuatkan dia mampu membina nama sebaris pembuat kek terkenal yang lain.

MENGHASILKAN kek untuk Raja Salman Abdul Aziz Al Saud.
MENGHASILKAN kek untuk Raja Salman Abdul Aziz Al Saud.

Walaupun sudah 13 tahun menceburi bidang pembuatan kek, Anne tetap menganggap pembabitannya masih baru dalam bidang perniagaan. Jadi dalam setiap cabaran diberikan, dia suka mencabar diri untuk menjadi perintis dan bukannya pengikut. Hasilnya sepanjang 10 tahun lalu, banyak figura kek menjadi ikutan pengusaha kek yang lain.

“Saya gembira apabila mampu mencetus trend dalam penghasilan figura. Bermula dengan karakter patung Muslimah dan kini barang peribadi seperti kasut, beg tangan, kereta, bola serta rumah, kini berjaya menghasilkan figura yang lebih sulit seperti Minion Rush, Clash of Clans, kek Swarovski dan terbaru harimau yang dijual pada harga puluhan ribu ringgit. Menghasilkan figura sebegini memerlukan kesabaran tinggi selain imaginasi bagi mendapatkan bentuk seakan-akan sama,” jelasnya.

Jelas Anne, bakat dan juga pengalaman yang diperoleh sebelum ini digunakan sepenuhnya bagi menyiapkan setiap watak dalam kek yang dihasilkan.

Untuk setiap dekorasi biasanya dihasilkan di atas permintaan pelanggan dan ada juga gabungan idea sekiranya dia berasa kurang sesuai. Dia juga menghasilkan kek mengikut bajet masing-masing dan tidak tertumpu kepada kek mahal sahaja.

Anne juga turut menjadi pilihan pasangan mempelai yang ingin mendapatkan kek perkahwinan mewah pada harga puluhan ribu ringgit. Selain kek hari jadi, bakerinya juga menyediakan tempahan cenderamata seperti mufin dan kek cawan dalam kuantiti yang banyak. Kek red velvet, pavlova dan pai whoopie antara yang menjadi kesukaan pelanggan.

Menurut Anne, walaupun berjaya menghasilkan apa juga kek permintaan pelanggan, dia sentiasa meningkatkan kemahiran dalam penghasilan figura sesuai dengan permintaan semasa. Dia juga ingin mencabar diri menghasilkan rekaan kek berbentuk seni bina bangunan atau rumah.

Mempunyai hampir 175,000 pengikut di Instagram, impian Anne adalah ingin menjadi pembuat kek terkenal di seluruh dunia. Pada masa sama dia turut mengadakan kelas membuat kek dan dekorasi di bawah Majlis Amanah Rakyat (MARA) serta menjadi penceramah motivasi bagi mendedahkan pelajar dalam dunia perniagaan.

KEK bawal eksklusif berharga RM15,900.
KEK bawal eksklusif berharga RM15,900.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 January 2019 @ 12:25 PM