BERSAMA kek yang dihasilkan.
BERSAMA kek yang dihasilkan.
Muhamaad Razis Ismail


PERINTAH Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan untuk mengekang rantaian penularan pandemik Covid-19 memberi impak besar hampir semua sektor di negara ini.

Ramai yang terjejas apabila sektor ekonomi tidak dapat bergerak dengan baik.

Sebaliknya, bagi Faridah Mohamad, 43, dia melihat pandemik ini dari sudut positif dengan memulakan perniagaan jualan kek secara sambilan.

Dia yang bertugas sebagai pembantu murid khas di sebuah sekolah rendah itu mengambil peluang bekerja dari rumah untuk menjadikan hobi menghasilkan kek sebagai sumber pendapatan sampingan.

Sejak memulakan sejak Ogos lalu, sambutan yang diberikan sangat menggalakkan, sehingga dia tidak menang tangan menyiapkan tempahan pelanggan.

Antara kek yang dihasilkan termasuk kek pisang, red velvet, pavlova dan brownies dengan harga yang sangat berpatutan.

ANTARA kek yang mendapat sambutan.
ANTARA kek yang mendapat sambutan.

Memulakan perniagaan dengan modal RM20 untuk hasilkan kek pisang, kini Faridah boleh tersenyum lebar dengan tempahan kek yang diterima hampir setiap hari.

Ibu kepada tiga ini berkata, minat terhadap penghasilan kek ini sudah sebati dalam dirinya sejak masih bersekolah lagi.

Katanya, biasanya dia hanya menghasilkan kek untuk keluarga dan rakan sekerja sahaja.

"Sebenarnya saya sudah mula ambil tempahan kek pada tiga tahun lalu namun tidak secara serius dan sekadar memenuhi 'kempunan' rakan sekerja.

"Bagaimanapun ketika PKPB dilaksanakan, saya bekerja dari rumah dan tercetus idea untuk hasilkan kek untuk rakan sekerja sebelum ia diketahui ibu bapa murid.

"Bermula dari seminggu sekali, tempahan semakin meningkat dari sehari ke sehari sehingga kadangkala tidak menang tangan terutama ketika hari gaji.

"Pernah suatu ketika saya mendapat lapan tempahan pada satu-satu masa sehingga terpaksa menutup tempahan untuk sementara waktu," katanya ketika ditemui di kediamannya di Shah Alam, Selangor baru-baru ini.

SERING dibantu anak lelakinya.
SERING dibantu anak lelakinya.

Menurutnya, melihat kepada sambutan yang diberikan dia mula nampak potensi perniagaan ini boleh dikembangkan.

"Saya mula 'jenamakan' produk kek yang dihasilkan dengan nama Ferry Kitchen. Ferry adalah nama panggilan saya supaya mudah dikenali dalam kalangan pelanggan.

"Pada masa sama, saya turut menyediakan perkhidmatan sistem bayar selepas terima (COD) sehingga ke Klang dengan caj minimum," katanya.

Ditanya mengenai penghasilan, Faridah berkata, dia banyak menyertai kelas secara dalam talian secara berbayar selain di YouTube.

"Biasanya saya akan hasilkan dahulu kek dan keluarga akan menjadi 'juri' menentukan rasa kek terbabit. Hasil komen yang diberikan saya akan buat penambahbaikkan sebelum 'diiklankan' kepada pelanggan

"Biarpun dibuat secara kecil-kecilan, namun saya tetap utama kualiti untuk kepuasan pelanggan," katanya.

Tambahnya, dia bersyukur, suami, Ahmad Shuhaimi Ibrahim @ Mohamad dan tiga anak memberi sokongan untuk meneruskan perniagaan ini.

"Apabila tidak menang tangan, mereka akan turun ke dapur untuk bersama-sama membantu.

"Kadangkala apabila nampak saya rileks, mereka akan berasa pelik kerana apabila di rumah saya sentiasa sibuk menyiapkan tempahan pelanggan di dapur," katanya.

 ANTARA pelanggan tetap Faridah.
ANTARA pelanggan tetap Faridah.

Dia menasihatkan orang ramai yang mungkin terjejas akibat pandemik ini, boleh menceburi bidang pembuatan kek ini sebagai sumber pendapatan.

"Mulakan dengan hasilkan kek yang mudah seperti kek pisang, kek marble dan brownies yang tidak memerlukan modal yang besar.

"Tidak tahu bukan alasan kerana di media sosial banyak maklumat secara percuma dikongsikan," katanya.

Ditanya perancangan masa hadapan, Faridah berhasrat untuk mengembangkan perniagaannya ini dengan memiliki sebuah kedai.

"Untuk sementara waktu ini, saya akan fokus penghasilan kek di rumah dan menambah ilmu perniagaan serta kek sebanyak mung

kin sebelum memiliki kedai sendiri," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 Disember 2020 @ 7:00 AM