Intan Mas Ayu Shahimi


SIKAP terbuka untuk berkongsi berupaya membina hubungan erat, membantu memupuk kasih sayang, saling menghormati dan memahami antara satu sama lain.

Apabila kanak-kanak tidak kedekut untuk berkongsi sesuatu dengan orang lain, secara tidak langsung akan wujud rasa hormat dan toleransi di antara mereka.

Hal ini mungkin nampak kurang penting, namun memberi impak luas dalam membentuk peribadi anak, selain meningkatkan kebolehan interaksi mereka pada masa depan.

Perunding Motivasi Keluarga, Zaid Mohamad berkata, berkongsi adalah sifat sosial yang bukan saja penting kepada kanak-kanak, bahkan orang dewasa.

“Kita tidak boleh menafikan cara hidup bermasyarakat. Kita juga tidak akan mampu melakukan semuanya berseorangan. Jadi, berkongsi itu sangat diperlukan untuk meneruskan kehidupan harmoni dan bahagia.

“Dalam perkembangan kanak-kanak, tabiat berkongsi wajar dipupuk dan dijadikan kebiasaan sejak awal usia. Apabila mereka mula memahami dan berinteraksi dengan orang lain, ibu bapa perlu beri perhatian.

PERUNDING Motivasi Keluarga, Zaid Mohamad
PERUNDING Motivasi Keluarga, Zaid Mohamad

“Mulakan dengan adik-beradik atau saudara terdekat dahulu. Dari situ, ibu dan ayah boleh melihat kaedah mana yang sesuai untuk memupuk semangat berkongsi anak. Apabila mereka mampu berkongsi, kehidupan ibu bapa juga akan jadi lebih tenang dan senang kerana anak akan mula menjaga antara satu sama lain,” katanya.

Menurut Zaid, berkongsi tidak terhad kepada barangan semata-mata, tetapi turut membabitkan perasaan, makanan, perhatian atau apa saja yang diperlukan sepanjang tempoh anak membesar.

“Masing-masing perlu menjaga keperluan setiap orang. Sebab itu tabiat berkongsi ini perlu ada dalam diri kanak-kanak yang sihat secara fizikal dan mental.

“Manusia pada asalnya dilahirkan dengan sifat mementingkan diri sendiri. Cuba perhatikan kecenderungan kita tatkala terdesak. Tentu pemikiran akan tertumpu pada diri sendiri dulu.

“Jadi, tidak hairan jika tabiat berkongsi ini perlu diajar. Anak kecil biasanya tidak tahu cara untuk berkongsi selagi tidak didedahkan dengan situasi. Di peringkat bayi, mungkin pengajaran ini tidak perlu ditekankan sangat.

“Tetapi, apabila anak sudah mencapai usia satu ke dua tahun, mula pandai bermain dengan barang permainan, boleh duduk, melihat, berjalan dan menyimpan minat terhadap sesuatu barang, maka ketika inilah perkongsian perlu diajar,” katanya.

GANJARAN yang boleh menceriakan emosi penting untuk menghargai usaha anak.
GANJARAN yang boleh menceriakan emosi penting untuk menghargai usaha anak.

TINGKAT KEYAKINAN DENGAN BERKONGSI

Tip paling mudah untuk mula mengajar anak berkongsi adalah dengan menggunakan barang permainan mereka sendiri. Sesetengah ibu bapa mungkin berasakan anak mereka mampu berkongsi secara semula jadi.

Namun, kata Zaid, sikap ingin menguasai atau ingin menjadi tuan kepada barang permainan sendiri, membuatkan anak sukar untuk bertolak ansur dengan perubahan di sekeliling.

“Ini terutama bagi anak sulung. Apabila mendapat adik, mereka akan mula berasa terancam. Mereka risau barangan, perhatian dan kasih-sayang akan berpindah milik.

“Jadi, teknik perkongsian yang penting adalah dengan menentukan siapakah yang berhak ke atas barangan terbabit. Ada banyak cara yang boleh dipraktikkan untuk meyakinkan anak bahawa, walaupun mereka terpaksa berkongsi, barang itu tidak akan berpindah milik.

“Contohnya kita labelkan barang mereka dengan penanda, label simbol atau warna yang tidak boleh dipadamkan. Kemudian, jelaskan kepada anak, siapa empunya barang. Jadi, dia rasa selamat,” katanya.

Selain itu ibu bapa juga boleh menggalakkan anak meminjamkan barang yang sudah dilabel kepada orang lain. Secara tidak langsung, kita mengajar anak untuk yakin bahawa barang kepunyaan mereka tidak akan hilang.

“Mendidik anak juga perlu seimbang. Di samping memberi perhatian kepada abang, si adik juga perlu diajar untuk menghormati hak orang lain. Ajar nilai ini ketika mereka berdua bermain.

“Beritahu mana satu barang kepunyaan abang yang boleh dipinjam dan jelaskan mengenai tanggungjawab untuk memulangkan kembali apabila diminta.

“Ibu bapa kena ajar anak memahami peranan pemberi dan peminjam. Dengan mencipta suasana positif sebegini, adik akan tahu itu bukan haknya dan abang akan yakin dia tidak akan kehilangan barang disayangi,” katanya.

Melabel juga tidak terkecuali bagi ibu bapa yang memiliki anak kembar. Walaupun ibu ayah membeli setiap orang satu permainan, tetapi ia masih perlu dilabel supaya mereka betul-betul rasa yakin dan selamat.

“Kalau ibu bapa bersikap peka, berkongsi akan mengajar anak untuk memahami banyak nilai baharu yang positif. Tunjukkan mereka kelebihan berkongsi. Umpamanya, kalau mereka sanggup berkongsi, permainan akan jadi lebih banyak. Apabila habis bermain, ajar mereka simpan barang masing-masing,” katanya.

PERLU KONSEP GANJARAN?

Kata Zaid, konsep ganjaran boleh diamalkan selagi tidak berlebihan. Ia tidak semestinya dalam bentuk material bahkan boleh jadi pelukan, pujian, ucapan terima kasih dan penghargaan ikhlas.

“Ganjaran terbaik adalah pujian. Ia tidak memerlukan wang, tetapi berupaya membina emosi positif anak. Apabila anak-anak berkongsi dan bermain dengan baik, pujilah mereka dan nyatakan perasaan kita sebagai ibu bapa.

“Contohnya, ‘ibu rasa bangga dan bahagia apabila tengok abang dan adik main sama-sama’. Jadi, anak-anak akan rasa dia sudah memberi satu kebahagiaan kepada ibu bapa mereka.

“Sesekali, hargai anak dengan hadiah. Beritahu mereka kita gembira menghadiahkan permainan baharu selepas berpuas hati dengan sikap baik dan tabiat berkongsi yang ditunjukkan. Dengan cara ini, anak akan rasa dihargai dan tidak akan membawa masalah kepada ibu bapa,” katanya.

Jelas Zaid, pujian ikhlas lazimnya membuatkan hati anak-anak berbunga riang. Ganjaran sebegini cukup penting untuk menggalakkan tabiat positif dalam diri anak-anak.

“Pujilah anak jika ada kesempatan. Kalau kita tidak memuji, tidak memberi ganjaran sesekali, bimbang mereka rasa kebaikan yang dilakukan tidak membawa apa makna.

“Mungkin ada sesetengah ibu bapa yang tidak biasa memuji anak atau ego untuk berbuat demikian. Cubalah untuk membiasakan diri dengan melihat kekuatan dan kelebihan anak-anak.

“Sekalipun anak seorang yang lambat sedikit dalam menyiapkan kerja sekolah, cuba cari kualiti dalam diri mereka dan pujilah supaya mereka lebih bermotivasi.

GANJARAN yang boleh menceriakan emosi penting untuk menghargai usaha anak.
GANJARAN yang boleh menceriakan emosi penting untuk menghargai usaha anak.

“Beritahu kita bangga dengan kualiti yang ada dalam dirinya. Kalau perlu ditegur kesilapan atau kelemahan, selitkan sekali ke dalam pujian. Ini antara kaedah terbaik untuk kita perbaiki kelemahan anak-anak,” katanya.

Kata Zaid, kebanyakan ibu bapa hari ini lebih cepat melihat kesilapan anak dan cenderung memperbesarkan isu sehingga membuatkan anak rasa dirinya tidak berguna dan menyusahkan.

“Kita bimbang pendekatan sebegini merosakkan emosi anak. Lama-kelamaan dia pasti hilang semangat untuk berubah sebab terlalu kerap dikritik, dihentam dan sebagainya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Ogos 2019 @ 5:00 AM
PERGAULAN sihat hasil tabiat berkongsi yang baik.
PERGAULAN sihat hasil tabiat berkongsi yang baik.
AJAR anak berkongsi untuk semai sikap bertolak ansur, tidak pentingkan diri.
AJAR anak berkongsi untuk semai sikap bertolak ansur, tidak pentingkan diri.