CARA layanan dan didikan perlu berubah dan disesuaikan dengan peringkat usia mereka.
CARA layanan dan didikan perlu berubah dan disesuaikan dengan peringkat usia mereka.
Noor Mohamad Shakil Hameed

ZAMAN remaja adalah tempoh peralihan dari alam kanak-kanak ke alam dewasa dan menjadi satu fasa di mana ibu bapa sering berhadapan cabaran untuk mendidik, mengawal dan mengurus kelompok anak muda ini.

Dalam konteks ini, ibu bapa perlu bertindak lebih fleksibel dan berkompromi kerana sikap dan cara didikan yang salah serta terlalu tegas mahupun garang boleh menyebabkan golongan remaja ini bertindak di luar kawalan seperti lari dari rumah.

Berdasarkan statistik laporan polis pada 2020 hingga September lalu menunjukkan 2,066 kanak-kanak dan remaja dilapor hilang dan daripada jumlah itu, remaja berusia 13 hingga 15 kumpulan paling ramai hilang iaitu 1,119 orang diikuti 16 hingga 18 (793), bawah enam (105) dan tujuh hingga 12 (109).

Jelas sekali, golongan remaja berusia 13 hingga 18 kelompok paling ramai dan apa yang membimbangkan ialah analisis pihak berkuasa membuktikan kebanyakan kes dilapor hilang ini bukan sebab diculik, sebaliknya meninggalkan rumah secara sukarela atau ringkasnya lari dari rumah.

Antara punca dikenal pasti ialah keluar rumah mengikut kawan kerana mencari kebebasan dan mengikut kekasih, selain ada disebabkan salah faham dengan keluarga, mencari kerja kerana kurang berminat belajar serta kurang perhatian keluarga.

Secara umumnya, 80 peratus kes dilapor dikaitkan dengan mangsa keluar rumah untuk mencari keseronokan dan kebebasan. Statistik dan punca didedahkan ini menunjukkan anggota masyarakat khususnya institusi keluarga berhadapan masalah sosial yang cukup serius.

Kita khuatir jika keadaan ini tidak ditangani dengan cermat dan segera bilangan anak muda yang lari dari rumah atas alasan dikongkong oleh ibu bapa serta mahukan kebebasan akan terus bertambah dan lazimnya kita tahu masa depan anak-anak yang bertindak mengikut emosi seperti ini sangat gelap dan sukar dipulihkan.

Justeru, ibu bapa perlu menggunakan pendekatan dan strategi lebih mesra remaja termasuk teknik psikologi terbalik supaya bukan saja dapat mendidik mereka, sebaliknya boleh terus mengawal dan mengurus keselamatan serta masa depan mereka umpama menarik rambut di dalam tepung; rambut jangan putus, tepung jangan berselerak. Dalam hal ini, ibu bapa perlu sedar anak mereka bukan lagi kanak-kanak yang perlu terlalu dikongkong sebaliknya akur serta terima kenyataan mereka semakin meningkat remaja dan sedang bersiap siaga untuk memasuki alam dewasa.

Jadi, cara layanan dan didikan perlu berubah dan disesuaikan dengan peringkat usia mereka. Harus diingat pada usia remaja ini mereka mula terdedah pelbagai maklumat baru baik melalui pengaruh internet khususnya media sosial mahupun melalui pengaruh rakan mereka.

Pada fasa ini juga, sering kali timbul isu hubungan ibu bapa dan anak yang semakin renggang dan kurang mesra di mana anak-anak mungkin lebih percaya dan rapat dengan rakan mereka. Keadaan akan menjadi semakin serius apabila kita melayan dan mendidik mereka dengan cara yang terlalu keras dan garang di samping kes di mana anak-anak kurang mendapat perhatian dan kasih sayang yang secukupnya daripada ibu bapa.

Akibatnya mereka lebih cenderung untuk mencari kebebasan dan keseronokan di luar rumah bersama-sama dengan rakan yang akhirnya mendorong mereka untuk terus keluar dari rumah tanpa menyedari kesan dan natijahnya pada masa akan datang. Jadi, ibu bapa perlu layan anak remaja mereka sebagai kawan dan perlu mewujudkan kemesraan yang lebih erat sehingga ke tahap di mana anak-anak tidak merahsiakan apa-apa dan lebih terbuka berbincang dari hati ke hati dengan ibu bapa masing-masing.

Kewujudan ikatan psikologi dan emosi seperti ini antara ibu bapa dan anak berpaksikan elemen kasih dan sayang pastinya membolehkan ibu bapa mengawal dan mendidik anak dengan lebih mudah.

Anak-anak juga akan lebih mengutamakan sentimen kekeluargaan, sekali gus tidak mudah memberontak atau rasa terkongkong.

Dalam hal ini juga ibu bapa perlu mendidik anak-anak untuk lebih berdikari supaya boleh mengurus dan mengawal keselamatan diri apabila berada di luar rumah terutamanya dalam soal memilih rakan. Hal ini penting kerana tidak mungkin kita mampu memantau mahupun mengawal setiap gerak geri anak ketika berada di luar rumah termasuk di sekolah.

Jadi, kita perlu menerapkan ilmu dan kemahiran secukupnya supaya mereka boleh menjaga diri dan batas pergaulan, lebih bijak memilih rakan serta tahu dan sedar kesan setiap tindakan mereka. Perkara ini penting kerana pengaruh di luar rumah khususnya dari rakan dilihat menjadi antara punca anak lari dari rumah jadi ajarlah mereka bagaimana memilih rakan yang boleh memberi impak positif dalam kehidupan mereka dan bukannya rakan yang akan merosakkan masa depan.

Selain itu, ibu bapa perlu menzahirkan kasih sayang serta keprihatinan mereka dengan jelas dan jangan biarkan anak berasa diri mereka diabaikan atau tidak disayangi oleh keluarga sendiri. Pergolakan dalam keluarga seperti pergaduhan ibu bapa serta penderaan sehingga menjejaskan emosi dan fizikal anak juga perlu dielak kerana boleh jadi punca mereka lari dari rumah.

Hakikatnya, perubahan zaman dan persekitaran menuntut ibu bapa mengubah pendekatan dalam mendidik dan mengurus kehidupan anak-anak. Tuntasnya, jangan kongkong kehidupan mereka sebaliknya jadilah rakan atau teman sejati yang sentiasa ada bila diperlukan dan boleh mendidik serta memberi nasihat yang sewajarnya.

Penulis pentadbir universiti dan penganalisis isu semasa

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 Disember 2022 @ 5:59 AM