BEG telekung boleh dibuka dan dijadikan sejadah muka.
BEG telekung boleh dibuka dan dijadikan sejadah muka.
Yusliza Yakimir Abd Talib

Jika dulu tidak ramai wanita yang menitikberatkan pemilihan telekung, cukup ada telekung sederhana untuk menunaikan solat. Namun kini keadaan jauh berbeza.

Masakan tidak, koleksi telekung di pasaran tidak lagi terhad kepada warna putih polos atau dengan kerawang ringkas, sebaliknya telekung berwarna pula mendapat tempat selaras peredaran zaman.

Seperti fesyen pakaian, aliran perubahan masa dan fesyen terkini dalam dunia pakaian ibadat itu juga turut membawa kepada kepelbagaian cita rasa dalam diri pemakainya.

Ini termasuk aspek yang menjadi keutamaan semasa membeli telekung iaitu selesa dipakai, tampak cantik dan tidak panas menjadi pilihan hampir semua wanita. Jenis fabrik yang popular pula berciri lembut dan tidak panas seperti kapas.

Di samping itu, telekung yang mudah dipakai dan tidak memerlukan penggunaan anak tudung antara yang diminati ketika ini selain memenuhi syariat seperti menutupi anak rambut dan dagu dengan sempurna.

Pembelian telekung pada masa ini juga tidak terhad untuk tujuan ibadat saja, malah ramai menjadikannya sebagai hadiah.

TAS tangan menarik yang didatangkan bersama telekung.
TAS tangan menarik yang didatangkan bersama telekung.

Ada juga yang membeli telekung untuk dijadikan hantaran perkahwinan atau dihadiahkan kepada mereka yang bakal menunaikan ibadat umrah dan haji.

Telekung jenama Amirah Shazana antara yang menampilkan rekaan terkini, malah direka khas bersama beg kembara yang mudah dibawa ke mana-mana.

Diusahakan oleh Amirah Shazana Magli, koleksi terbaru telekung Ameera direka bagi memenuhi keinginan mereka yang mementingkan keterampilan pada masa sama mengingatkan diri mengenai kepentingan solat.

Beg telekung yang comel umpama tas tangan dengan rekaan sepadan telekung menambah nilai eksklusif jenama ini manakala penggunaan warna pastel menyerlahkan keterampilan pengguna.

Menurutnya, idea penghasilan rekaan itu muncul apabila mendapati kesukaran mencari telekung yang diperbuat daripada kain kapas bersaiz kecil dan ringan untuk dibawa ke mana-mana selain senang dimasukkan ke dalam beg tangan.

Selain itu katanya, rekaan koleksi terkini itu lebih versatil apabila beg telekung direka khas untuk pelbagai fungsi.

KOLEKSI telekung untuk ibu dan anak.
KOLEKSI telekung untuk ibu dan anak.

“Beg telekung ini bukan saja boleh digunakan untuk mengisi telekung, ia juga boleh dibuka dan dijadikan sebagai sejadah mini. Selain itu, ia boleh dipadankan seperti tas tangan.

“Bagi saya, telekung seharusnya tampak lebih eksklusif dan bersifat multi fungsi supaya ia boleh dibawa ke majlis formal mahupun tidak formal.

“Rekaan ini dibuat khas bagi mengisi pasaran semasa yang hanya menumpukan rekaan dari Indonesia dan Vietnam. Bagi pendapat saya, Malaysia seharusnya mempunyai rekaan telekung tersendiri supaya mampu menyaingi pasaran luar,” katanya.

Penggunaan warna pastel banyak dimainkan pada setiap rekaan telekung jenama itu selain menggunakan 100 peratus fabrik kapas premium. Setiap koleksi jenama itu dijual pada harga bermula RM59 hingga RM229.

Selain itu, perincian tambahan turut digunakan pada setiap rekaan antaranya daripada bahan kapas Itali, kapas kaftan dan renda premium.

Dengan saiz yang tidak terlalu besar dan berat, telekung ini dibuat labuh dan lebar sesuai hingga ketinggian 170 sentimeter dan saiz XXL selain rekaan pada bentuk muka yang cantik.

TELEKUNG Pelangi menggunakan kain bercorak ikat celup buatan tangan.
TELEKUNG Pelangi menggunakan kain bercorak ikat celup buatan tangan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 January 2018 @ 3:22 AM