Siti Nadirah Hafidzin

Ibu bapa yang mempunyai anak kecil sering berdepan masalah apabila si manja tidak mahu duduk atau berbaring untuk tempoh yang lama di dalam kereta sorong kerana mahu didukung.

Atas faktor itu, jenama Exertion Apparels (EA) tampil dengan rekaan jaket terbaru, khusus untuk golongan ibu bapa yang kerap berdepan masalah untuk berenggang dengan si kecil.

Rekaan yang mengetengahkan fesyen pakaian praktikal dan pada masa sama masih mempunyai gaya tersendiri itu menjadikan koleksi Multifunctional Jacket Bag Baby Carrier EA antara koleksi yang wajar dimiliki.

Menurut pengasas jenama itu, Sulaiman Mohd Shah, rekaan terbabit memfokuskan kepada keperluan kritikal ibu bapa yang mahu membawa bayi mereka keluar membeli-belah, melancong dan bersantai.

BOLEH dipakai lelaki dan wanita.
BOLEH dipakai lelaki dan wanita.

Jaket diinspirasikan daripada poket kanggaru itu didatangkan bersama penggendong bayi berbentuk beg di bahagian depan baju.

“Jaket penggendong bayi yang juga antara rekaan terawal di Malaysia ini juga mempunyai satu penutup berpoket di depan dan tidak perlu lagi menggunakan penggendong bayi biasa. Ia juga sesuai untuk ibu mengandung.

“Saiz penggendong ini juga boleh diselaraskan mengikut saiz bayi supaya si pemakai berasa selesa ketika membawa si manja,” katanya.

REKAAN terawal di Malaysia.
REKAAN terawal di Malaysia.

Sulaiman berkata, selain digunakan sebagai penggendong bayi, jaket ini juga boleh digayakan sebagai kardigan.

“Ia didatangkan dengan dua gaya yang berbeza supaya pengguna dapat memilih gaya yang sesuai ketika bersama-sama insan yang tersayang.

“Rekaan ini juga dilengkapi poket pada bahagian sisi dan juga depan bagi memudahkan pengguna menyimpan barang. Pada bahagian penggendong bayi dilengkapi alas lembut untuk keselesaan dan keselamatan,” katanya.

Tambah Sulaiman, dengan penggunaan fabrik kapas Duck, kapas satin, kapas drill dan kain minky, koleksi jaket penggendong bayi ini kukuh, selesa, bebas alergi, mudah dicuci dan tahan lama.

 ANTARA rekaan terkini yang praktikal.
ANTARA rekaan terkini yang praktikal.

“Ia dijual pada harga antara RM400 hingga RM500 bergantung kepada koleksi dan didatangkan dalam pilihan saiz bermula S hingga XXL.

“Koleksi ini mempunyai pilihan warna menarik dan boleh digunakan lelaki mahupun wanita. Lebih menarik jaket ini mempunyai penyangkut khas untuk menyangkut puting bayi di bahagian depan,” ujarnya.

Menurutnya, rekaan ini sesuai untuk setiap ibu bapa yang mempunyai bayi kerana ia memudahkan khususnya ketika membeli belah, beriadah atau melancong.

REKAAN jaket yang dilengkapi penggendong bayi.
REKAAN jaket yang dilengkapi penggendong bayi.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 Februari 2018 @ 8:55 AM