COMEL dan anggun dengan koleksi renda.
COMEL dan anggun dengan koleksi renda.
Yusliza Yakimir Abd Talib

HELAIAN busana indah bak puteri raja. Melihat koleksi pakaian kanak-kanak ini pasti memukau pandangan bukan saja anak kecil malah ibu bapa sendiri.

Rekaan dihiasi renda dan manik berkilauan, koleksi daripada Cottonandlacestyle ini akan membuatkan penampilan si kecil lebih menarik.

Menurut pengasasnya, Khairani Mahmod, untuk koleksi kali ini butik itu memilih kombinasi warna pastel yang ceria dan menarik perhatian kanak-kanak.

Walaupun begitu katanya, mereka berhati-hati dalam memilih kombinasi warna untuk memastikan setiap rekaan nampak eksklusif dan tidak keterlaluan.

Selain itu rekaan koleksi itu turut difokuskan pada potongan yang ringkas bagi mengoptimumkan keselesaan bayi dan kanak-kanak malah dia turut melebihkan perincian yang menarik perhatian.

Selain rekaan yang unik, baginya penggunaan material untuk pembuatan busana si manja memainkan peranan utama kerana keselesaan mereka menjadi fokus utama butik itu dengan menawarkan hanya material berkualiti premium.

“Perincian renda dan manik berkilauan antara yang mahu ditampilkan pada rekaan ini. Jarang rekaan menggunakan fabrik ini diketengahkan untuk kanak-kanak berbanding busana buat orang dewasa.

“Namun, keselesaan tetap menjadi keutamaan, jadi fabrik yang digunakan dipastikan sesuai dengan cuaca di Malaysia.

“Semua rekaan adalah hasil jahitan tangan yang kemas dan rapi. Namun faktor utama yang berjaya menambat hati pelanggan ialah material kapas premium yang kami guna sejak dulu. Kami percaya material berkualiti akan menghasilkan rekaan yang sempurna,” katanya.

Menurut Khairani, butik itu bermula dengan aksesori buatan tangan, dan daripada gubahan aksesori itulah tercetusnya idea menghasilkan baju buatan tangan unik, berkualiti dan amat selesa untuk bayi.

FABRIK kapas selesa untuk kanak-kanak bebas bergerak.
FABRIK kapas selesa untuk kanak-kanak bebas bergerak.

Tambahan pula, katanya, baju sedia ada di pasaran jarang bersesuaian dengan majlis dan cuaca di negara ini, jadi butik itu mengkhususkan rekaan baju kanak-kanak eksklusif dan sesuai untuk sebarang majlis.

Penggunaan kapas premium pula kerana strukturnya yang lembut, ringan dan tidak mudah berkedut atau berbulu walaupun dibasuh dalam jangka masa panjang.

“Kami sentiasa bereksperimen dengan pelbagai jenis material lain seperti sekuin, sifon, dan renda tapi kami akan pastikan ia dialas dengan lapisan kapas untuk memastikan keselesaan bayi pada tahap maksimum.

“Lumrah kanak-kanak yang aktif dan lasak mereka pasti mudah berpeluh, jadi fabrik menyerap peluh seperti kapas amat sesuai buat mereka,” katanya.

Meskipun tampak gah dan anggun dengan material premium, koleksi butik ini ditawarkan dengan harga berpatutan bermula daripada RM59 hingga RM129 bergantung pada rekaan dan saiz.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Mac 2019 @ 5:00 AM