VOLVO Cars dan Geely Automobile. FOTO Reuters
VOLVO Cars dan Geely Automobile. FOTO Reuters
Reuters

GEELY Automobile dan syarikat sekutunya, Volvo Cars merancang untuk bergabung dan disenaraikan di Hong Kong atau Stockholm, bagi membolehkan Volvo mendapat akses kepada pasaran awam selepas menggugurkan rancangan untuk menyenaraikan sahamnya dua tahun lalu.

Langkah untuk menggabungkan kedua-dua unit perniagaan itu dilaksanakan memandangkan pengeluar kenderaan global mewujudkan pakatan bagi memastikan kos lebih baik susulan peralihan kepada kereta elektrik, peraturan pelepasan lebih ketat dan pemanduan autonomi.

Syarikat induk Geely, Zhejiang Geely Holding Group, membeli Volvo Cars daripada Ford Motor Co pada 2010.

Bersama jenama premium Polestar dan jenama segmen tenaga baharu Geely iaitu Geometry, syarikat baharu itu akan memiliki lima jenama, meliputi produk sedan mampu milik hinggalah kereta sukan mewah, sekali gus menandakan kemunculan pengeluar kereta global pertama China, kata penganalisis.

Masih belum jelas penilaian yang akan ditambah ke dalam Geely, syarikat bernilai AS$16 bilion yang disenaraikan di Hong Kong, dengan menyuntik aset Volvo ke dalamnya.

Jualan Geely meningkat sejak 2015 apabila produknya mula menggunakan teknologi Volvo.

Geely Automobile menjual 1.36 juta kereta pada 2019 dan menyasarkan untuk menjual 1.4 juta kereta tahun ini.

Volvo menjual kira-kira 700,000 kereta tahun lalu.

Zhejiang Geely Holding mempunyai 49.9 peratus kepentingan dalam PROTON yang dibeli pada 2017 dan kepentingan majoriti dalam jenama kereta sukan Britain, Lotus.

Oktober lalu, Volvo Cars berkata akan menggabungkan aset pembangunan dan pengeluaran enjin dengan Geely, bagi mewujudkan unit untuk membekal kepada Lotus, LEVC, Lynk serta PROTON dan jenama pesaing yang berpotensi.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Februari 2020 @ 3:08 PM