ANGGOTA bomba mengeluarkan paku yang tertusuk di jari tengah tangan kiri seorang penyelia kilang.
ANGGOTA bomba mengeluarkan paku yang tertusuk di jari tengah tangan kiri seorang penyelia kilang.
Khairul Najib Asarulah Khan

Nilai: Seorang penyelia kilang terpaksa menahan kesakitan lebih 30 minit apabila jari tengah kirinya tertusuk paku pada kayu yang digunakan untuk menghalau anjing di Kawasan Perindustrian Nilai, di sini, semalam.

Sebelum itu, dia yang berusia 58 tahun mengambil kayu terbabit yang berukuran 0.6 meter untuk mengusir beberapa anjing liar yang memasuki pekarangan kilang, kira-kira jam 7.30 pagi.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Nilai, Khairullizal Abu Kassim berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berkenaan kejadian itu pada jam 8.07 pagi.

“Panggilan dari Klinik Kesihatan Nilai untuk bantuan khas selepas mangsa dirujuk ke situ untuk rawatan.

“Kami memotong kayu terbabit menggunakan alat khas terlebih dahulu sebelum berjaya mengeluarkan paku yang tertusuk di jarinya dalam tempoh 10 minit,” katanya.

Menurutnya, kakitangan klinik memberi rawatan lanjut terhadap mangsa sebelum dia dibenarkan pulang.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 Jun 2018 @ 6:06 AM