Antara tempat tarikan pelancong di Greece. - FOTO AFP
Antara tempat tarikan pelancong di Greece. - FOTO AFP
Reuters

Athens: Greece akan menawarkan penginapan percuma selama seminggu di Rhodes pada 2024 kepada pelancong yang percutian mereka terganggu akibat kebakaran hutan yang berlaku selama berhari-hari di pulau itu pada Julai lalu.

Kejadian itu menyebabkan memusnahkan rumah dan hotel serta memaksa beribu-ribu orang berpindah.

Pelancongan adalah pemacu utama ekonomi Greece yang muncul daripada krisis hutang pada 2018, dan Rhodes, pulau kesembilan terbesar di timur Laut Mediterranean, merupakan tempat percutian yang popular.

Kebakaran berlaku pada 18 Julai di tengah Rhodes dan api merebak ke pantai timur dan selatan, kawasan yang menempatkan banyak pusat peranginan.

Greece berkata ia melaksanakan pemindahan terbesar pernah dilakukan di negara itu.

Lebih 20,000 pelancong dan penduduk tempatan terpaksa meninggalkan rumah dan hotel tepi laut.

Perdana Menteri Greece Kyriakos Mitsotakis memberitahu ITV Britain pada Rabu bahawa kebakaran hutan menjejaskan 15 peratus Rhodes dan keadaan itu "kembali normal" sekarang tetapi pihak berkuasa memahami bahawa ia menyebabkan sedikit kesulitan kepada pelawat.

"Bagi semua mereka yang cuti mereka dipendekkan akibat kebakaran hutan, kerajaan Greece dengan kerjasama pihak berkuasa tempatan akan menawarkan cuti percuma selama seminggu di Rhodes, musim bunga depan, musim luruh berikutnya, supaya kami memastikan mereka kembali ke pulau dan nikmati keindahan semula jadinya," kata Mitsotakis.

Mitsotakis berkata, kebakaran hutan di Mediterranean bukanlah sesuatu yang luar biasa tetapi perubahan iklim memburukkan keadaan.

Pihak berkuasa Greece juga berkata, 45 bangunan rosak di pulau itu, menurut penilaian awal kesan kebakaran Rhodes.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 Ogos 2023 @ 5:44 PM