SOFIA akhirnya mendedahkan serangan seksual yang berlaku ke atas dirinya ketika berusia 21 tahun. FOTO Agensi
SOFIA akhirnya mendedahkan serangan seksual yang berlaku ke atas dirinya ketika berusia 21 tahun. FOTO Agensi
AFP

Athens: Salah seorang atlet paling cemerlang di Greece dan dua kali memenangi pingat Olimpik, Sofia Bekatorou mendapat pujian hujung minggu ini kerana berani tampil ke depan mendedahkan serangan seksual membabitkan ahli persekutuan pelayaran di negaranya.

Sofia, pemenang pingat emas pelayaran, mendedahkan dia pernah berdepan serangan seksual membabitkan ahli eksekutif persekutuan pelayaran Greece selepas beberapa hari pemilihan ke Sukan Olimpik Sydney 2000.

Dalam perkongsian di laman sosial, Facebook hari ini, Perdana Menteri Greece, Kyriakos Mitsotakis berkata, beliau berdiri teguh di belakang juara veteran itu dan menggesa mangsa lain serangan seksual tampil untuk mendedahkan perkara sebenar.

"Sudah tiba masanya untuk menghentikan perbuatan terkutuk mereka ke atas mangsa yang lemah," kata Mitsotakis.

Sofia berkata, ketika kejadian gangguan seksual itu dia baru berusia 21 tahun dan dia menjadi mangsa kepada orang lama dalam persatuan di bilik hotelnya.

Ibu kepada dua anak berusia 43 tahun itu berkata, ketika itu dia memilih untuk berdiam diri bagi membolehkannya terus beraksi, tatkala pelaku berkenaan mempunyai kedudukan tinggi serta berkuasa di dalam persatuan.

"Ketika itu kita tidak mempunyai pakar psikologi sukan dan sudah tentu saya tidak akan memberitahu kepada ibu bapa saya kerana mereka akan menyuruh saya berhenti daripada sukan ini," katanya.

Sofia memenangi emas di Sukan Olimpik Athens 2004 dan meraih gangsa empat tahun kemudian di Beijing.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 January 2021 @ 9:52 PM