Anastasia (kanan) bersama anaknya yang mengupah remaja lain membunuhnya. FOTO Social media/e2w
Anastasia (kanan) bersama anaknya yang mengupah remaja lain membunuhnya. FOTO Social media/e2w
Agensi

Moscow: Remaja perempuan berusia 14 tahun tergamak mengupah remaja lain bagi membunuh ibunya yang meminta memutuskan hubungannya dengan teman lelaki.

Konspirasi itu turut membabitkan teman lelakinya berusia 15 tahun yang didakwa mengupah dua remaja lain 3,650 Pound Sterling (RM19,882.38) untuk memukul dan mencekik wanita itu hingga mati.

Sebelum itu, ibunya, Anastasia Milosskaya meminta remaja itu memutuskan hubungannya dengan teman lelaki kerana pengaruh buruk terhadap anaknya.

Wanita berusia 38 tahun itu, dipukul dan dicekik sehingga mati dalam serangan ganas yang didakwa diarahkan anak perempuannya itu.

Dua hari kemudian mayatnya dibalut dengan plastik dan tilam sebelum dibuang dalam longkang di wilayah Balashikha di timur Moscow.

Anak perempuannya ditahan bersama teman lelakinya yang tinggal di flat keluarga itu.

Pihak berkuasa Rusia berkata, mereka mengesyaki anak perempuan dan lelaki itu berpakat mengarahkan dua remaja lain untuk membunuh ibunya dengan bayaran 3,650 Pound Sterling.

Laporan dari sumber Rusia mengatakan, suspek membenarkan rakan sejenayah mereka masuk ke dalam flat dan menyerang wanita itu ketika dia pulang ke rumah.

Suspek dipercayai meninggalkan mayat yang dipukul itu di flat sebelum membuang mayat terbabit dua hari kemudian dengan menggunakan pengusung sementara serta membuangnya ke dalam longkang berhampiran.

Suspek di bawah umur direman di pusat tahanan remaja selama sebulan sementara menunggu siasatan lanjut.

Jawatankuasa Penyiasatan mendakwa, remaja itu dan teman lelakinya berhasrat untuk hidup dengan wang simpanan ibunya lebih 30,000 Pound Sterling (RM163,416.81).

Sumber lain berkata, mangsa berusaha untuk memperbaiki taraf hidupnya dan sentiasa menjaga anak perempuannya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 April 2023 @ 1:31 PM