WANITA sanggup berpura-pura diculik untuk duit.
WANITA sanggup berpura-pura diculik untuk duit.
Agensi

Madrid: Wanita di Sepanyol ditangkap kerana berpura-pura diculik dan menuntut 43,000 pound sterling (kira-kira RM222,200) daripada ibunya, baru-baru ini.

Mirror UK melaporkan, imej mengerikan yang dikeluarkan oleh polis di Tenerife menunjukkan wanita itu ditutup matanya, dengan darah palsu menitis dari mulutnya.

Dia merayu supaya wang tebusan dibayar.

Klip video itu menunjukkan seorang individu berpakaian hitam dan memakai sarung tangan sambil memegang pisau di leher wanita itu.

Susulan video itu, Pengawal Awam Sepanyol menahan empat ahli keluarga kepada teman lelaki gadis itu atas dakwaan cubaan peras ugut.

Ini bukan kali pertama.

Sebelum ini, si ibu pernah menyerahkan 39,000 pound sterling (kira-kira RM201,500) kepada pemeras ugut selepas menerima surat ugutan terhadap anak perempuannya.

Dalam pada itu, Pengawal Awam Sepanyol dalam kenyataan menjelaskan mengenai kes berkenaan.

"Guardia Civil, dalam rangka Operasi Santero, sudah menahan lima individu daripada keluarga yang sama di Tenerife, kerana memeras wang daripada seorang wanita dengan mensimulasikan penculikan anak perempuan (mangsa).

"Selepas menerima video di mana wanita muda itu kelihatan terikat dan dengan pisau di lehernya, mangsa mengeluarkan jumlah 50,000 euro (kira-kira RM222,575) dari sebuah bank untuk membayar pembebasan anak perempuannya," katanya.

Kenyataan itu kemudiannya menjelaskan cara ibu menyerahkan wang kepada 'penculik'.

"Pada masa sama, penyiasat mendapati mangsa ditipu sekurang-kurangnya tiga kali sebelum ini, di mana dia menyerahkan sejumlah 45,000 euro (kira-kira RM200,293) selepas menerima tiga surat berisi ancaman terhadap nyawa anak perempuannya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 September 2022 @ 11:43 AM