POLIS Jerman menggunakan pengesan logam untuk mencari pisau di hutan, yang dipercayai digunakan dalam pembunuhan itu. FOTO Reuters
POLIS Jerman menggunakan pengesan logam untuk mencari pisau di hutan, yang dipercayai digunakan dalam pembunuhan itu. FOTO Reuters
AFP

Berlin: Dua pelajar perempuan di Jerman mengaku menikam kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun hingga mati.

Mangsa yang hanya dikenali sebagai Luise, hilang pada petang Sabtu selepas meninggalkan rumah rakan berhampiran bandar Freudenberg, di negeri barat utara Rhine-Westphalia.

Mayat Luise ditemukan keesokannya di kawasan hutan berdekatan rumahnya.

Pendakwa raya Koblenz, Mario Mannweiler berkata, tiada tanda jenayah seksual pada jasad mangsa.

"Kanak-kanak itu meninggal dunia kerana banyak luka akibat tikaman pisau dan kehilangan banyak darah," katanya pada sidang akhbar.

Katanya, suspek dan Luise mengenali satu sama lain, namun beliau enggan memberikan butiran lanjut kerana usia suspek yang terlalu muda.

"Penyiasat masih belum menemui pisau yang digunakan dalam serangan itu.

"Ini satu tindakan sangat luar biasa dan mengejutkan," katanya.

Dalam pada itu, Ketua Jabatan Pembunuhan Polis Koblenz, Florian Locker berkata, dua pelajar berusia 12 dan 13 tahun mengaku bertanggungjawab atas jenayah itu.

"Kedua-dua kanak-kanak itu membuat kenyataan tentang perkara itu dan akhirnya mengakui jenayah berkenaan," katanya.

Di Jerman, umur individu yang bertanggungjawab atas perbuatan jenayah dilakukannya bermula pada 14 tahun.

Luise sepatutnya pulang dari tempat rakannya tetapi ibu bapanya membuat laporan pada petang Sabtu, selepas dia tidak pulang.

Kehilangannya mencetuskan operasi mencari besar-besaran termasuk puluhan polis, sebuah helikopter, dron dan anjing pengesan.

Pemimpin wilayah, Hendrik Wuest, berkata pembunuhan itu mengejutkan ramai kerana suspek adalah kanak-kanak.

Semalam, penduduk tempatan meletakkan bunga dan lilin berhampiran kawasan hutan tempat mayat Luise ditemukan, manakala polis masih meninjau tempat kejadian untuk mendapatkan bukti.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Mac 2023 @ 11:25 AM