Polis hari ini mengiringi lelaki yang memenggal kepala budak perempuan di Taipei semalam. - Foto AFP
Polis hari ini mengiringi lelaki yang memenggal kepala budak perempuan di Taipei semalam. - Foto AFP
AFP

Taipei: Lelaki yang disyaki memenggal kepala budak perempuan berusia empat tahun dibelasah orang ramai selepas dia ditahan semalam.

Dalam kejadian ketika budak perempuan berkenaan menunggang basikal ke stesen kereta api bawah tanah bersama ibunya bagi menemui saudara mereka, lelaki itu menarik mangsa dan memenggal kepalanya dengan pisau dapur.

Suspek menolak ibu mangsa yang menerpa bagi menyelamatkan anaknya manakala enam orang awam yang berada di tempat kejadian juga gagal menghalang pembunuhan itu sebelum mereka menangkap lelaki berkenaan.

Mangsa dikenali dengan nama keluarganya sebagai Liu manakala suspek, menurut polis dikenali sebagai Wang, 33, pernah ditahan kerana kesalahan dadah serta dua kali dirawat akibat masalah mental.

Siaran televisyen menunjukkan puluhan orang ramai yang marah berkumpul di luar balai polis tempat lelaki berkenaan ditahan. Ada yang menyerangnya ketika dibawa ke pejabat pendakwaraya untuk soal siasat hari ini.

Berikutan kejadian itu, parlimen Taiwan akan menimbangkan melaksanakan hukuman mati untuk jenayah berat, termasuk membunuh kanak-kanak bawah 12 tahun atau penjara seumur hidup bagi kes masalah mental.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 Mac 2016 @ 7:09 PM