Dahlia (dua dari kanan) bersama Zulkifli (dua dari kiri) tampil memberikan sumbangan kepada Yayasan Nurjiwa.
Dahlia (dua dari kanan) bersama Zulkifli (dua dari kiri) tampil memberikan sumbangan kepada Yayasan Nurjiwa.
Najiy Jefri


Kuala Lumpur: Dihujani pelbagai tawaran sebagai duta kempen produk tempatan, pempengaruh popular, Dahlia Rizal tidak akan menerima sesuatu lamaran tanpa mencuba sendiri produk terbabit.

Menurut Dahlia, pendirian itu dibuat kerana enggan menanggung dosa dan bimbang azab di akhirat kelak.

Menurut Dahlia, kesedaran itu timbul selepas dia menghadiri kelas agama bersama suaminya yang juga pelakon, Imran Aqil baru-baru ini.

"Saya tidak mahu tanggung dosa dan takut di akhirat nanti. Ketika menghadiri kelas agama bersama suami, ustaz itu mengatakan saya akan mendapat dosa besar jika menipu dalam membuat ulasan produk.

"Contohnya jika sesuatu produk itu tidak bagus atau makanan tidak sedap, tetapi saya menipu kata bagus. Bayangkan jika 100,000 orang beli produk atau makanan itu hanya kerana melihat ulasan yang saya lakukan.

"Saya akan mendapat dosa besar daripada setiap orang yang beli kerana saya. Dulu semasa muda tidak berfikir panjang dan kejar duit saja, sekarang saya sedar tanggungjawab seorang pempengaruh sangat besar," katanya.

Dahlia berkata demikian ketika ditemui pada majlis sidang media pelantikannya sebagi duta terbaharu produk makanan kesihatan K-Colly di sebuah hotel, di sini, baru-baru ini.

Pada majlis itu, jenama terbabit turut menyalurkan sumbangan sebanyak RM100,000 kepada Yayasan Nurjiwa bagi meringankan beban golongan yang memerlukan.

Dalam pada itu, Pengurus Besar K-Colly, Mohd Zulkifli Hussain turut menegaskan pihaknya akan mengambil tindakan undang-undang terhadap dua individu yang mendakwa produk itu menjejaskan kesihatan sehingga buah pinggang mengecut dan meninggalkan komen berunsur fitnah.

Tuduhan itu telah dimuat naik dalam sebuah video yang tular di TikTok sehingga mencapai dua juta jumlah tontonan selain komen fitnah mengenai produk itu di Facebook.

"Pihak kami memandang serius akan perkara ini kerana sudah menjejaskan kepercayaan pengguna setia produk ini. Reputasi syarikat dan jualan produk turut terjejas.

"Walhal produk kami sudah menjalani pemeriksaan di makmal bertauliah dan melepasi ujian Sijil Analisis (COA) yang mengesahkan tiada pencemaran logam berat dan microbial (kuman) dalam produk kami," katanya.

Sementara itu, peguam yang mewakili K-Colly, Azreen Azmi dari Tetuan Adnan Sharida & Associates berkata, pihaknya sedang bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bagi menjalankan siasatan secara terperinci terhadap dua individu itu.

"Anak guam saya sudah membuat dua laporan di Balai Polis Pokok Sena, Kota Setar, Kedah dan perkara ini masih dalam siasatan polis. Namun, anak guam saya mahukan permohonan maaf daripada dua individu terbabit dan tuntutan ganti rugi.

"Kami juga dalam proses untuk mengeluarkan surat tuntutan (letter of demand) selepas Aidiladha ini dan jika tiada kerjasama daripada pihak mereka kami akan memfailkan saman seterusnya membawa perkara ini ke mahkamah," katanya.

Dalam pada itu, Azreen turut memberi amaran kepada netizen agar berfikir panjang sebelum membuat sebarang tuduhan dan komen di platform media sosial.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Jun 2024 @ 1:14 PM