Kuala Lumpur: Datuk Seri Najib Razak mengutuk sekeras-kerasnya pembunuhan Ketua Bahagian Bicara dan Rayuan, Jabatan Peguam Negara Anthony Kevin Morais.

Sehubungan itu Perdana Menteri mengarahkan polis bertindak segera menyiasat kes tersebut

“Saya mengutuk sekeras-kerasnya pembunuhan dahsyat Morais.

“Takziah kepada keluarga mendiang. Polis mesti bertindak segera menyiasat kes ini,” tegas beliau dalam Twitter peribadinya semalam.

Kelmarin Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Mohmad Salleh mengesahkan mayat yang ditemui disimen dalam tong dram di Jalan Subang 3, jam 6 pagi adalah mendiang Morais selepas 15 hari dilaporkan hilang.

Mayat ditemui hasil pengakuan lima daripada tujuh suspek yang didalangi seorang doktor berusia 52 tahun yang menunjukkan kepada polis mayat dibuang.

Motif pembunuhan adalah dendam berhubung satu kes perbicaraan rasuah anggota tentera dan doktor terbabit di Mahkamah Shah Alam.

Tujuh suspek termasuk seorang wanita dan kanak-kanak ditahan reman 14 hari mulai semalam di Pulau Pinang, Rawang dan sekitar Lembah Klang.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 September 2015 @ 9:49 AM