POLIS membuat pemeriksaan di Gereja Jehovah's Witness. FOTO Agensi
POLIS membuat pemeriksaan di Gereja Jehovah's Witness. FOTO Agensi
PHILIPP F. Foto Agensi
PHILIPP F. Foto Agensi
Agensi

Hamburg: Pembunuh kejam yang menembak mati tujuh individu dan beberapa yang lain cedera di Gereja Jehovah's Witness sudah dikenalpasti, lapor Mirror.

Suspek, Philipp F, 35, yang bekerja di sebuah pusat perniagaan ditemui mati di lokasi kejadian selepas dipercayai menembak dirinya sendiri.

Pegawai pasukan keselamatan Hamburg, Thomas Radszuweit berkata pihak berkuasa tidak mengesyaki suspek sebelum ini kerana tiada rekod lampau.

Ketua Polis Hamburg, Ralf Martin Meyer berkata, suspek menembak dirinya sendiri di dalam gereja berkenaan selepas pegawai memasuki bangunan itu.

Beliau berkata, semakan mendapati suspek mempunyai lesen senjata dan memiliki pistol separa automatik secara sah.

Bagaimanapun, motif kejadian pada petang Khamis yang mengejutkan bandar kedua terbesar di Jerman itu masih belum diketahui.

Menurut majalah German Spiegel, suspek adalah bekas ahli yang menyertai pembelajaran Bible di pusat itu.

Memetik laman web itu, Phillip dibesarkan di Kempten di rantau Allgäu dalam keluarga yang taat beragama dan bekerja sebagai kerani bank selepas menamatkan persekolahan.

Suspek kemudian meneruskan pengajian dalam bidang pentadbiran perniagaan dan berada di luar negara sebelum menetap di Hamburg.

Di laman web lelaki itu, dia ada menawarkan perkhidmatan perundingan dalam bidang controlling to theology dengan bayaran harian minimum 250,000 euro (RM1.2 juta) dan mengatakan kos tinggi itu kerana kerjanya dapat menjana sekurang-kurang 2.5 juta euro (RM12 juta) kepada pelanggan.

Agensi berita DPA melaporkan, penduduk di daerah Alsterdorf menerima amaran melalui telefon bimbit mengenai situasi yang mengancam nyawa.

Pengurus gereja dilihat tiba di lokasi di daerah Gross Borstel beberapa batu dari pusat bandar Hamburg, untuk mengeluarkan mayat mereka yang terbunuh dalam serangan itu.

Puluhan polis berkawal di gereja dan pasukan forensik menggunakan karung kuning besar untuk mengambil bukti penting.

Dalam kejadian jam 9 malam waktu tempatan Khamis lalu, tujuh maut dan lapan cedera dalam kejadian tembakan di sebuah gereja di Hamburg.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Mac 2023 @ 10:26 AM