NWAOGWUGWU dilihat dalam keadaan kesakitan sebelum ditahan pihak berkuasa di lapangan terbang. FOTO Agensi
NWAOGWUGWU dilihat dalam keadaan kesakitan sebelum ditahan pihak berkuasa di lapangan terbang. FOTO Agensi
Agensi

Manchester: Tindakan seorang 'keldai dadah' menyamar sebagai peminat kelab Liverpool dan menelan satu kilogram kokain bernilai kira-kira RM337,000 (£80,000) mengundang padah apabila ditahan pihak berkuasa di Lapangan Terbang Manchester.

DailyMail melaporkan, penahanan Benjamin Nwaogwugwu, 43, dibuat polis selepas pihak berkuasa melihat dia dalam keadaan kesakitan sebelum pemeriksaan lanjut dilakukan terhadap lelaki terbabit.

Nwaogwugwu dikatakan direkrut kartel dadah Columbia menelan 79 paket besar berisi dadah kokain di sebuah hotel di Amerika Selatan sebelum terbang sejauh kira-kira 8,000 kilometer (km) ke Paris, Perancis dan pulang ke United Kingdom (UK) dengan menyamar sebagai peminat kelab bola sepak ternama Inggeris itu.

Bagaimanapun, penyamaran lelaki berkenaan tidak berjaya apabila dia ditahan pihak berkuasa di lapangan terbang selepas polis melihat dia mengerang kesakitan akibat kesan dadah berkenaan.

Nwaogwugwu kemudiannya dibawa ke hospital dan pihak berkuasa mengambil masa dua hari untuk mengeluarkan semua paket dadah yang ditelan untuk analisis.

Pakar melaksanakan ujian terhadap 19 paket dan menjumpai kesemuanya mengandungi kokain dengan tahap ketulenan mencapai lebih 89 peratus dan bernilai sekitar RM337,000 semuanya.

Lelaki berkenaan yang tinggal di Longsight, Manchester, UK mempunyai isteri dan anak di UK mendakwa dia dipaksa oleh gengster kartel dadah berkenaan dan sebagai balasan, mereka akan menjaga ahli keluarga lain yang masih berada di Nigeria.

Dalam soal siasat yang dilaksanakan, Nwaogwugwu diberitahu untuk menelan 100 bungkusan kokain namun tidak dapat menelan semua jumlah berkenaan.

Berdasarkan beberapa kes lalu, ia memperlihatkan kartel dadah Columbia mengekploitasi kebebasan pergerakan di Eropah untuk menyeludup masuk bahan terlarang berkenaan melalui French Guiana yang digunakan sebagai hab sebelum memasuki mana-mana negara Eropah.

Lelaki berkenaan dilaporkan mengaku bersalah atas kesalahan menyeludup masuk kokain di Mahkamah Minshull Street Crown dan dipenjarakan empat tahun dua bulan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 September 2022 @ 11:34 AM