MANGSA maut dalam penerbangan dari Bogota ke Tokyo.
MANGSA maut dalam penerbangan dari Bogota ke Tokyo.
AFP

MEXICO CITY: Seorang lelaki maut dalam penerbangan dari Bogota ke Tokyo selepas menelan 246 paket dadah jenis kokain menyebabkan pendaratan cemas terpaksa dilakukan di utara Mexico, kata pihak berkuasa hari ini.

AFP yang memetik kenyataan pejabat pendakwa raya negeri Sonora berkata, lelaki berusia 42 tahun dikenali sebagai Udo ‘N’ dikatakan mengalami sawan selepas menaiki pesawat yang berlepas dari ibu kota Colombia ke Mexico City.

“Anak kapal melihat seorang penumpang mengalami sawan dan memohon kebenaran untuk melakukan pendaratan cemas di Hermosillo, Sonora.

“Sebaik pesawat mendarat jam 2.25 pagi waktu tempatan pada Jumaat lalu, anggota paramedik tiba memberi bantuan sebelum mengesahkan lelaki itu meninggal dunia,” kata kenyataan itu.

Pesawat Aeromexico yang membawa seramai 198 penumpang itu kemudiannya meneruskan perjalanan ke Jepun selepas mayat dibawa keluar.

Hasil bedah siasat mendapati lelaki terbabit menelan 246 paket kokain yang setiap satunya berukuran 2.5 sentimeter.

Pendakwa raya berkata, punca kematian adalah disebabkan otaknya membengkak akibat terlebih dos.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Mei 2019 @ 11:00 AM