FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Agensi

London: United Kingdom (UK) sedang memantau jangkitan Covid-19 membabitkan rusa selepas penularan kes tinggi dikesan dalam kalangan haiwan itu di Amerika Utara.

Saintis Amerika Syarikat (AS) sedang mencari bukti yang menjelaskan virus itu mampu merebak dan bermutasi secara bebas dalam kalangan spesies terbabit.

Satu kajian di Kanada menemui kes pertama virus itu beralih dari rusa kepada manusia.

Siasatan berasingan menunjukkan virus itu boleh merebak dalam kalangan rusa ekor putih di AS dengan sehingga 40 peratus haiwan diuji dalam satu penilaian menunjukkan positif.

Penjujukan genomik mengesahkan, bukan sahaja varian baharu merebak ke spesies haiwan ketika ia merebak dalam populasi manusia, malah terus berkembang ke perumah baharu.

Menurut laporan Nature yang dipetik portal Metro, sebanyak 24 haiwan yang diuji daripada 30 negeri menunjukkan beberapa tahap jangkitan.

Biarpun tiada bukti Covid-19 sedang menular dalam kalangan rusa British tetapi kumpulan haiwan itu salah satu daripada beberapa spesies yang sedang dipantau dengan teliti.

Pasukan petugas yang ditubuhkan tahun lalu oleh Agensi Kesihatan Haiwan dan Tumbuhan sentiasa memeriksa jangkitan dari beberapa populasi haiwan termasuk musang, mink, kelawar serta rusa.

Kes Covid-19 dalam kalangan rusa Eropah belum dikenal pasti melalui pemantauan, namun pakar mengakui tidak mengejutkan jika benar berlaku jangkitan memandangkan kadar kes tinggi dalam kalangan manusia.

Kira-kira dua juta rusa liar berkeliaran di sekitar kawasan luar bandar Britain, kadar tertinggi dalam 1,000 tahun.

Penemuan awal daripada kajian rusa di sekitar Ontario, Kanada, yang diterbitkan pada Februari mendapati garis keturunan virus yang 'sangat berbeza' dalam edaran.

Strain mempunyai 76 mutasi dan penjujukan genomik mendedahkan satu contoh di mana ia mungkin berpindah kepada manusia yang menjadi kes pertama seumpamanya.

Hubungan manusia dengan rusa di bahagian AS di mana haiwan itu cukup selesa untuk dibelai atau diberi makan oleh manusia adalah satu kemungkinan jangkitan itu berlaku.

Selain itu, faktor pemburu yang dijangkiti virus itu serta rusa yang menghidu makanan dan bersentuhan dengan pelitup muka yang dibuang merata-rata.

Walaupun hubungan manusia dengan rusa adalah rendah di Britain, terdapat risiko spesies itu akan menyebarkannya kepada haiwan lain termasuk ternakan lain.

Jurucakap Jabatan Alam Sekitar, Makanan dan Hal Ehwal Luar Bandar mengesahkan, tiada bukti Covid-19 menular dalam populasi rusa di negara itu, namun pihaknya akan terus memantau keadaan dengan teliti termasuk bekerjasama dengan rakan akademik.

Kumpulan Jangkitan Haiwan Manusia dan Pengawasan Risiko sedang menjalankan penilaian risiko ke atas potensi hubungan antara rusa dan manusia.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 Mei 2022 @ 3:06 PM