GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Agensi

Toronto: Lima individu dilaporkan cedera dalam insiden tembakan di sebuah masjid di Toronto, Kanada pada Sabtu.

Portal Anadolu Agency melaporkan, sumber polis memaklumkan sekumpulan lelaki yang baru selesai solat tarawih diserang secara rambang oleh penembak dari sebuah kenderaan.

Menurutnya, sekurang-kurangnya enam das tembakan dilepaskan dalam kejadian di daerah Scarborough itu.

Polis Toronto bagaimanapun masih tiada maklumat tentang jumlah suspek yang terbabit dalam kejadian itu.

"Kami tidak dapat menyatakan sama ada mangsa menjadi sasaran kerana kepercayaan agama mereka," kata jurucakap polis.

Sementara itu, ahli lembaga Persatuan Muslim Scarborough, Nadeem Sheikh berkata dia bimbang dengan kejadian tembakan itu.

Nadeem menggesa pihak berkuasa untuk mengenal pasti dan menahan pelaku bagi membendung keganasan senjata api di kawasan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 April 2022 @ 12:02 PM