POLIS mengawal keselamatan di Sekolah La Loche.
POLIS mengawal keselamatan di Sekolah La Loche.
AP

Toronto: Empat maut dan sekurang-kurangya dua cedera selepas seorang lelaki bersenjata melepaskan tembakan di dua lokasi termasuk di sebuah sekolah di pekan orang asli La Loche, Saskatchewan.

Perdana Menteri Justin Trudeau yang berada di Davos, Switzerland berkata, seorang suspek ditahan polis di luar Sekolah Tinggi La Loche.

“Ini mimpi ngeri setiap ibu bapa. Kami semua turut bersedih atas kejadian ini,” katanya.

Datuk Bandar La Loche, Kevin Janvier berkata, anak perempuannya Marie, 23, yang juga guru, mati ditembak lelaki terbabit dalam kejadian lewat Jumaat (waktu tempatan) itu.

Katanya, dia dimaklumkan polis bahawa lelaki bersenjata itu menembak mati dua beradik kandungnya sebelum Marie diserang.

“Saya diberitahu dia menembak dua beradik lelakinya di rumah mereka sebelum pergi ke sekolah itu.

“Saya terlalu sedih. Marie anak tunggal saya dan tidak tahu sama ada dia mengenali penembak itu secara peribadi,” katanya.

Ketua Royal Canadian Mounted Police Superintendan Maureen Levy berkata, penembak itu ditahan di luar sekolah berkenaan, tetapi enggan mendedahkan butiran lanjut termasuk jantina dan usia mangsa yang maut.

Seorang pelajar berkata, dia baru selesai makan tengah hari ketika tembakan dilepaskan.

“Rakan-rakan bertempiar lari dan menggesa saya menyelamatkan diri. ‘Lari, ‘bro.’ lari! Ada pistol!’ jerit mereka kepada saya.

“Ketika itu saya juga mendengar tembakan jadi tidak berfikir panjang dan terus melarikan diri,” kata Noel Desjarlais-Thomas, 16.

Kejadian tembak di sekolah atau kampus universiti jarang berlaku di Kanada. Kejadian seumpamanya yang terburuk di negara itu membabitkan tembakan di Ecole Polytechnique, Montreal, pada 6 Disember 1989.

Dalam kejadian itu, Marc Lepine masuk ke dalam kelas di sebuah kolej di sekolah kejuruteraan itu, mengasingkan pelajar lelaki dan wanita sebelum menembak 14 perempuan serta dirinya sendiri.

Sekolah La Loche terletak di penempatan orang asli Dene yang terpencil di La Loche, Saskatchewan. Dalam kenyataan di Facebooknya, sekolah itu berkata, ia akan ditutup sehingga polis selesai menyiasat dan meminta orang ramai mengelak lokasi berkenaan.

Tidak jelas berapa mangsa maut di sekolah berkenaan.

Sementara itu, pemimpin Saskatchewan Brad Wall dalam satu kenyataan menyuarakan kesedihannya atas kejadian itu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 January 2016 @ 5:05 AM