ORANG ramai melutut sebagai tanda sokongan kepada Ukraine dalam perhimpunan di depan Rumah Putih di Washington. FOTO AFP
ORANG ramai melutut sebagai tanda sokongan kepada Ukraine dalam perhimpunan di depan Rumah Putih di Washington. FOTO AFP
AFP

Washington: Rusia meminta bantuan ketenteraan dan ekonomi daripada China susulan serangan terhadap Ukraine, lapor media Amerika Syarikat (AS), semalam, beberapa jam selepas Rumah Putih memberi amaran bahawa Beijing akan berdepan 'masalah' jika membantu Moscow.

Pegawai AS memberitahu media, Rusia meminta bantuan peralatan ketenteraan dan sokongan daripada sekutu utamanya itu.

Moscow turut meminta bantuan ekonomi daripada Beijing selepas berdepan pelbagai sekatan khususnya daripada negara Barat, lapor New York Times yang dipetik daripada sumber.

Bagaimanapun, pegawai itu enggan menjelaskan secara terperinci butiran permintaan daripada Rusia atau sama ada China memberikan maklum balas atau sebaliknya.

Jurucakap Kedutaan China di Washington memberitahu beberapa media: "Saya tidak pernah mendengar mengenainya", ketika diminta mengulas mengenai dakwaan itu.

Laporan itu disiarkan beberapa jam selepas Rumah Putih mengumumkan delegasi tertinggi AS akan bertemu dengan pegawai tinggi China di Rome, hari ini.

"Penasihat Keselamatan Kebangsaan AS, Jake Sullivan akan bertemu Ketua Diplomat Parti Komunis China, Yang Jiechi untuk berbincang mengenai usaha berterusan antara kedua-dua negara dan kesan di peringkat wilayah serta keselamatan dunia susulan serangan Rusia ke atas Ukraine," kata jurucakap Majlis Keselamatan Kebangsaan, Emily Horne dalam kenyataan, semalam.

Beijing enggan mengecam Moscow secara langsung susulan peperangan itu dan berulang kali menyalahkan usaha Nato untuk meluaskan pengaruh ke timur yang memburukkan situasi antara Rusia dan Ukraine.

Dalam satu program bual bicara semalam, Sullivan menyatakan Rumah Putih memerhatikan secara dekat sama ada China akan menghulurkan bantuan peralatan atau ekonomi untuk menyokong Russia melepasi hukuman dan sekatan dikenakan.

"Ia dalam pemerhatian kami dan kami berkomunikasi dengan Beijing untuk menyatakan kami tidak akan membenarkan mana-mana negara membantu Rusia susulan masalah akibat sekatan ekonomi," katanya menerusi rancangan "State of the Union" disiarkan CNN.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Mac 2022 @ 11:49 AM