Tracey bersama bas dipandunya. FOTO Agensi
Tracey bersama bas dipandunya. FOTO Agensi
Agensi

London: Hanya kerana fizikalnya terlalu rendah, pemandu bas di United Kingdom (UK) ini mungkin terpaksa melepaskan pekerjaannya selama 34 tahun itu.

Tracey Scholes dari Heywood, Greater Manchester, tidak cukup tinggi untuk mengubah kedudukan cermin sisi bas yang boleh mengundang bahaya.

Isu itu timbul pada bulan lalu apabila Tracey diberi notis daripada majikannya selepas operator mengubah kedudukan cermin sisi pada kenderaan itu.

Ini bermakna Tracey, yang mempunyai ketinggian 152.4 sentimeter (sm) terlalu pendek untuk mengendalikan bas itu tanpa melepaskan kakinya dari pedal.

Manchester Evening News melaporkan, wanita berusia 57 tahun kini sedang membuat rayuan dengan bantuan kesatuan sekerja.

"Ini sungguh mengecewakan. Saya seorang ibu tunggal tiga anak, ada hutang rumah dan ia berlaku bila menjelang Krismas.

"Saya tak pernah terbabit dengan kesatuan sebelum ini, malah saya juga tak pernah ada masalah disiplin atau digantung (pemanduan)," katanya seperti dilaporkan portal Daily Star.

Katanya, dia membangkitkan masalahnya apabila sukar memandu dengan baik ketika menggunakan cermin sisi kenderaan itu.

"Saya tak dapat kendalikannya dengan baik, tanpa mengangkat kaki dari pedal.

"Akhirnya, majikan saya memutuskan saya bertugas ke laluan lain yang boleh menggunakan cermin sisi jenis lama," katanya.

Pihak pengurusan Go North West, yang mengambil alih perkhidmatan daripada First pada 2019, menawarkan Tracey alternatif lain tetapi dengan tempoh jam kerja dan gaji yang dikurangkan.

Namun, Tracey menolak tawaran itu dan diberikan notis selama 12 minggu ketika dia membuat rayuan terhadap keputusan majikannya itu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Disember 2021 @ 6:10 AM