BEZZA 2020 lebih sporty.
BEZZA 2020 lebih sporty.
Lizam Ridzuan

SEJAK dilancarkan pada 2016, Perodua Bezza adalah kenderaan sedan pertama yang ditawarkan oleh Perodua dan menerima penarafan kenderaan cekap tenaga (EEV) yang pertama untuk sedan di negara ini.

Kini selepas tiga tahun, model ini diberi sentuhan rekaan lebih segar untuk menambah pilihan menarik kepada pembeli yang mahukan sebuah kenderaan dengan ruang dan ciri praktikal terbaik serta kos pemilikan yang rendah.

Perodua Bezza edisi 2020 dilancarkan baru-baru ini tampil dengan gaya baru yang menarik serta #lebihpadu meneruskan elemen gaya kontemporari dan teknologi keselamatan termaju.

Empat varian ditawarkan iaitu 1.0 G MT, 1.0 G AT, 1.3 X AT dan 1.3 AV AT yang dijual pada harga bermula RM34,580 hingga RM49,980.

Perodua Bezza kini dengan rekaan lampu hadapan LED dan rekaan bampar serta gril ciri DNA Perodua baharu yang tampil bergaya.

BAMPAR rekabentuk baharu.
BAMPAR rekabentuk baharu.

Untuk varian 1.3 liter ia dipadankan dengan rim aloi 15 inci dan ‘skirt’ sisi dwi-tona serta bampar rekabentuk baharu adalah standard untuk semua varian melihatkan ia lebih stabil dan berkeyakinan.

Semua varian didatangkan dengan cermin sisi berkuasa boleh laras berserta sensor undur dan untuk varian AV pula ditambah kamera undur dan cermin sisi yang boleh dilipat dengan menekan butang larasan.

PADANAN rim aloi 15 inci dan ‘skirt’ sisi dwi-tona.
PADANAN rim aloi 15 inci dan ‘skirt’ sisi dwi-tona.

Untuk ruang dalaman antara pembaharuan yang diberi ialah kombinasi meter baharu dengan pencahayaan warna putih dan digital LCD untuk maklumat perjalanan.

Bezza 2020 juga dengan sistem kemasukan dan penghidup enjin tanpa kunci, serta sensor sisi hadapan turut terdapat pada varian-varian 1.3 liter.

Pembaharuan paling utama ialah sistem Bantuan Pemanduan Selamat (A.S.A.) 2.0 kini ditawarkan untuk Perodua Bezza menerusi varian AV, menjadikannya sedan dengan ciri termaju paling mampu milik di Malaysia.

BANTUAN Pemanduan Selamat (A.S.A.) 2.0.
BANTUAN Pemanduan Selamat (A.S.A.) 2.0.

Ciri-ciri (A.S.A.) 2.0 ialah membantu mengurangkan risiko pelanggaran terdiri daripada Pengesan Pejalan Kaki (sehingga 50km/j), Amaran Pra-Pelanggaran (sehingga 100 km/j), Brek Pra-Pelanggaran (sehingga 80km/j), Amaran Pergerakan Hadapan dan Kawalan Kesilapan Pedal.

Untuk varian X pula, kini didatangkan dengan Kawalan Kestabilan Kenderaan (VSC) dan kawalan cengkaman yang mana sebelum ini hanya terdapat pada varian AV.

KEMASAN dalaman elegan.
KEMASAN dalaman elegan.

Bezza 2020 ditawarkan dengan warna baharu iaitu Garnet Red (1.3 liter sahaja) dan Granite Grey menyertai empat warna yang sedia ada, iaitu Ivory White, Glittering Silver, Ocean Blue dan Sugar Brown.

Aksesori GearUp turut ditawarkan untuk menambah gaya sporty, antaranya bodykit dan spoiler belakang dengan harga RM2,000.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 January 2020 @ 8:00 AM