AKSI Claire Lomas ketika menunggang motosikal pada acara berkenaan. FOTO Agensi
AKSI Claire Lomas ketika menunggang motosikal pada acara berkenaan. FOTO Agensi
Agensi

Belfast: Wanita berstatus orang kurang upaya (OKU) berjaya membuktikan kemampuannya beraksi menunggang motosikal berkuasa tinggi meskipun lumpuh dari dada ke bahagian bawah badan.

BBC melaporkan, wanita itu, Claire Lomas, 43, tidak dapat berjalan kerana mengalami patah tulang rusuk, paru-paru tertusuk, patah leher dan tulang belakang akibat kemalangan semasa menunggang kuda pada 2007.

Bagaimanapun, dia berjaya menunggang motosikal dengan kelajuan lebih 128 kilometer sejam di laluan North West 200 (NW200) di Ireland Utara, baru-baru ini.

Lomas dari Melton Mowbray di Leicestershire, England itu berkata, dia tidak pernah bermimpi akan dapat melakukannya.

Dia menunggang motosikal berkuasa tinggi yang direka khas untuk kesesuaiannya dengan kaki diikat pada pedal.

"Ia perasaan luar biasa. Ketika saya terlantar di hospital selepas kemalangan, saya tidak pernah menyangka akan dapat melakukan perkara seperti ini lagi.

"Saya sangat gementar. Saya tidak dapat merasakan apa-apa di bawah dada saya tetapi saya dapat merasakan perasaan gementar di perut.

"Saya mencapai kelajuan 128 kilometer sejam. Ia membuatkan saya berasa 'bebas' dan sangat gembira," katanya.

Hasil perlumbaan itu, Lomas mengumpul lebih 4,400 pound sterling (kira-kira RM24,500) bagi Yayasan Kecederaan Tulang Belakang Nicholls.

Badan amal itu sedang menjalankan penyelidikan bagi rawatan lumpuh tulang belakang.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Mei 2023 @ 2:45 PM