BERUANG perang. FOTO HIASAN
BERUANG perang. FOTO HIASAN
Agensi

Bucharest: Pihak berkuasa Romania sedang menyiasat kematian Arthur yang diyakini sebagai beruang coklat terbesar di Eropah.

CNN melaporkan beruang itu dipercayai ditembak mati oleh Putera Emanuel, 32, dari Liechtenstein.

Emanuel adalah sepupu Putera Hans-Adam II yang memerintah Liechtenstein, negara kecil di bersempadan dengan Switzerland.

Emanuel didakwa menembak Arthur yang berusia 17 tahun pada Mac lalu ketika menyertai satu ekspedisi memburu.

Pihak pendakwaan membuka kertas siasatan pada 6 Mei lalu dengan dua pertuduhan termasuk membunuh Arthur.

Selain itu, satu lagi pertuduhan membabitkan beberapa individu yang ikut berburu iaitu berhubung pemilikan senjata api.

Dalam pada itu, Organisasi Alam Sekitar, Agent Green yakin bahawa putera raja itu sudah diberikan izin berburu selama empat hari oleh Kementerian Alam Sekitar Romania.

Difahamkan, Emanuel diberi izin untuk menembak seekor beruang betina muda yang menyerang kawasan penternakan di daerah Covasna, Transylvania.

Sebaliknya, Emanuel menembak Arthur yang tinggal di kawasan hutan simpan.

Presiden Agent Green, Gabriel Paun mengakui tidak memahami bagaimana Emanuel gagal membezakan saiz beruang yang ada di dalam hutan.

Sementara itu, Perdana Menteri Romania Florin Citu dalam kenyataannya menyangkal laporan media dan menyatakan Arthur mungkin bukan beruang coklat terbesar di Eropah.

Romania melarang kegiatan perburuan binatang liar sejak 2016.

Namun, pengecualian diberi untuk kes ekstrem seperti jika beruang berkenaan merosakkan harta benda atau mengancam nyawa manusia.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Mei 2021 @ 11:00 PM