BERUANG betina bernama JJ4 ditangkap susulan serangan terhadap manusia di  pergunungan Alps, Itali. FOTO Ansa / AFP / Italy OUT
BERUANG betina bernama JJ4 ditangkap susulan serangan terhadap manusia di pergunungan Alps, Itali. FOTO Ansa / AFP / Italy OUT
Reuters

Rom: Mahkamah Itali pada Jumaat menangguhkan keputusan bahawa seekor beruang coklat harus dihukum mati kerana menyebabkan kematian seorang lelaki berusia 26 tahun yang berjoging di pergunungan Alps pada April lalu.

Hakim di mahkamah pentadbiran Rom, yang dikenali sebagai Majlis Negara berkata, walaupun beruang itu harus disimpan dalam kurungan untuk keselamatan awam, perintah membunuhnya adalah tidak seimbang dan tidak perlu.

Ia adalah satu lagi penangguhan hukuman bagi beruang yang dikenali sebagai JJ4, yang nasibnya menarik perhatian media sejak serangan itu.

Ketua wilayah Trento di mana insiden itu berlaku mendesak beruang itu dibunuh, manakala kumpulan hak asasi haiwan berjuang untuk menyelamatkannya.

Keputusan muktamad mengenai beruang itu tidak dijangka sehingga rayuan selanjutnya pada Disember.

Kawasan di sekitar bandar utara Trento, sudah dihuni semula beruang dari 1999 di bawah program pemuliharaan yang dibiayai Kesatuan Eropah (EU).

Namun, beberapa tahun kebelakangan ini menyaksikan kerap terjadi serangan beruang kepada komuniti manusia.

Ia menimbulkan persoalan mengenai bagaimana kejayaan hidup manusia bersama dengan mamalia itu boleh dicapai.

JJ4, seekor beruang betina berusia 17 tahun, sebelum ini dipersalahkan atas serangan ke atas dua mangsa.

Pelobi hak haiwan LAV mengalu-alukan keputusan mahkamah pada Jumaat dan berkata, ia sepatutnya menjamin masa depan yang selamat untuk beruang itu.

"Tiada lagi sebab untuk menangguhkan pemindahan JJ4 ke tempat perlindungan yang selamat dan dibenarkan di Romania," kata Massimo Vitturi, jurucakap LAV.

LAV sudah menemui tempat perlindungan selamat untuk beruang itu di Romania dan menawarkan untuk menanggung proses pemindahan ke sana.

Hakim Rom turut menyelamatkan seekor lagi beruang, MJ5, yang masih belum ditangkap dan turut menghadapi perintah pemusnahan atau hukuman mati selepas mencederakan seorang lelaki pada Mac.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Julai 2023 @ 2:27 PM