TANGKAP layar daripada video di media sosial memaparkan beberapa wanita meminum air basuhan kaki jemaah haji.
TANGKAP layar daripada video di media sosial memaparkan beberapa wanita meminum air basuhan kaki jemaah haji.
Agensi

Jakarta: Tindakan segelintir individu yang minum air basuhan kaki jemaah haji yang baru pulang dari Tanah Suci Makkah menimbulkan kontroversi dalam kalangan netizen di Indonesia.

Tindakan yang dianggap sebagai mengambil berkat itu menimbulkan banyak kecaman dan perdebatan di media sosial.

Tular di media sosial video yang memaparkan beberapa wanita minum air basuhan kaki suami isteri yang baru pulang dari Makkah, sekali gus mengundang pelbagai reaksi.

Menerusi video itu, mereka dilihat minum air basuhan kaki pasangan yang baru kembali dari Makkah sebelum memeluk pasangan berkenaan sebagai tanda mengambil berkat.

Alasan yang diberikan ialah kaki jemaah haji itu sudah menjejakkan kaki di Tanah Suci, dan berharap dengan meminum air itu, mereka juga akan mendapat peluang untuk menunaikan haji suatu hari nanti.

Pemilik video asal dari Banjarmasin, Kalimantan itu menjelaskan bahawa ia adalah adat di kampungnya.

"Mereka baru pulang dari Tanah Suci, kakinya itu suci lah. Jadi, berkatnya diambil supaya siapa tahu boleh pergi ke Tanah Suci nanti," katanya.

Namun, jawapan itu tidak diterima baik oleh netizen yang terus mengecam perlakuan berkenaan.

Sejak video itu tular, pemilik video meminta orang ramai agar berhati-hati dalam memberi komen untuk mengelakkan daripada mempengaruhi dirinya secara negatif.

Isu itu turut menarik perhatian ramai, termasuk ulama tersohor Indonesia, Buya Yahya yang mana video berkenaan perkongsian perkara itu tular semula.

Dalam satu video di saluran YouTube beliau pada 22 Januari 2018, Buya Yahya menjelaskan bahawa mencium kaki ibu adalah dibenarkan tetapi meminum air basuhan kaki ibu tidak sama sekali dibenarkan.

"Mencium kaki ibu adalah dibenarkan tapi bukan meminum air bekas basuhan kaki ibu. Gak (Tidak) ada itu dari mana cerita itu," katanya.

Beliau menekankan bahawa tidak ada pendidikan yang mengajarkan untuk meminum air basuhan kaki ibu kerana air itu kotor.

Adat minum air basuhan kaki jemaah haji ini jelas menimbulkan kontroversi dan perdebatan. Walaupun ia mungkin dianggap sebagai cara mengambil berkat oleh segelintir pihak, namun dari segi agama dan kebersihan, ia tidak disarankan sama sekali.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Julai 2024 @ 10:53 AM