ANGGOTA polis mengawasi lokasi kereta rempuh penghadang di perkarangan bangunan Parlimen Britain di London. FOTO Reuters
ANGGOTA polis mengawasi lokasi kereta rempuh penghadang di perkarangan bangunan Parlimen Britain di London. FOTO Reuters
Agensi

LELAKI ditahan kerana disyaki melakukan serangan keganasan selepas kereta dipandu merempuh beberapa orang dan halangan di luar Parlimen di London, hari ini.

Polis berkata, mereka menahan pemandu kenderaan berusia 20-an mengikut kesalahan keganasan.

Mangsa yang dirempuh dipercayai tidak parah, kata polis.

"Ketika ini, kami menganggap kejadian ini sebagai insiden keganasan," kata Scotland Yard.

Dalam kejadian 7.37 pagi tadi (waktu tempatan), Ford Fiesta berwarna perak melanggar beberapa penunggang basikal dan pejalan kaki sebelum merempuh halangan di luar Parlimen, kata polis.

Polis bersenjata segera mengepung kereta itu sebelum menghalakan senjata ke arah pemandu ketika dia keluar dari kenderaannya.

“Dia ditahan kerana disyaki melakukan keganasan.

“Tiada orang lain dalam kenderaan itu, yang masih berada di lokasi kejadian dan diperiksa. Tiada senjata ditemui,” kata Polis Metropolitan dalam satu kenyataan.

Tahun lalu, lokasi itu menjadi tempat serangan apabila Khalid Masood, 52, warga tempatan merempuh pejalan kaki di atas jambatan berhampiran sebelum menikam mati anggota polis yang berkawal di luar Parlimen.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Ogos 2018 @ 7:36 PM