MANGSA ditemui maut di lokasi kejadian dipercayai akibat dilanggar kenderaan. FOTO ihsan Pembaca
MANGSA ditemui maut di lokasi kejadian dipercayai akibat dilanggar kenderaan. FOTO ihsan Pembaca
Nur Saliawati Salberi


POLIS mengesan saksi kejadian kemalangan maut membabitkan pejalan kaki warga emas di persimpangan lampu isyarat Lebuh Alor Gajah- Melaka Tengah- Jasin (AMJ) Simpang Ampat, Alor Gajah, hari ini.

Dalam kejadian 6.30 pagi itu, mangsa Hassan Md Yasin,

83, ditemui maut di lokasi kejadian dipercayai akibat dilanggar oleh kenderaan.

Ketua Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik negeri Deputi Superintendan Mohd Sham Abdullah berkata, pihaknya memerlukan saksi kejadian bagi membantu siasatan.

"Mangsa ditemui dalam keadaan terbaring dan sudah meninggal di tengah jalan di persimpangan lampu isyarat.

"Pemeriksaan dijalankan ke atas mangsa dan mendapati terdapat kesan kecederaan di kepala dipercayai dilanggar oleh kenderaan yang tidak dikenal pasti," katanya.

Beliau berkata, mayat mangsa sudah dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Alor Gajah bagi proses bedah siasat sebelum diserahkan kepada ahli keluarga mangsa untuk proses pengebumian.

Mohd Sham berkata, sehingga 4 petang semalam, belum ada pemandu yang dipercayai terbabit dengan kemalangan tampil membuat laporan polis.

"Polis meminta orang awam yang ada melihat kemalangan atau mempunyai maklumat untuk tampil bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 Oktober 2017 @ 7:48 PM