PEKERJA Alam Flora Sdn Bhd membersihkan tompokan minyak yang mencemari kawasan pantai.
PEKERJA Alam Flora Sdn Bhd membersihkan tompokan minyak yang mencemari kawasan pantai.
MOHAMMAD Yazid menunjukkan tompokan minyak yang mencemari pantai Sungai Karang.
MOHAMMAD Yazid menunjukkan tompokan minyak yang mencemari pantai Sungai Karang.
Oleh Khairulmizan Yahya

Kuantan: Kesan tumpahan minyak dipercayai daripada kapal dagang dilihat mencemari pantai sepanjang 20 kilometer dari pantai Balok ke Teluk Cempedak di sini, dikhuatiri boleh menjejaskan aktiviti pelancongan dan nelayan di kawasan berkenaan.

Difahamkan, tumpahan itu mungkin dibuang kapal yang mahu mengosongkan bekalan minyak lama sebelum mengisi minyak baru di Pelabuhan Kuantan di sini.

Tompokan minyak itu jelas kelihatan di beberapa lokasi termasuk di sepanjang persisiran pantai berkenaan yang turut mengotorkan lokasi tumpuan pelancong utama di daerah ini.

Sejak pencemaran itu dikesan kelmarin, Alam Flora Sdn Bhd (Alam Flora) dengan bantuan Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) giat menjalankan kerja pembersihan tompokan minyak berkenaan.

Seorang penduduk Mohd Zubir Mat Ghani, 50, berkata, dia menyedari kesan tompokan minyak di sepanjang pantai berhampiran rumahnya di Kampung Sungai Karang, Balok ketika mahu mencari kepah bersama keluarga, kelmarin.

“Hari ini (semalam) saya lihat keadaannya semakin teruk dengan kesan tompokan minyak lebih banyak menyebabkan kami selesa untuk ke pantai, malah tidak berani memakan kepah tu kerana bimbang tercemar.

“Tompokan minyak itu bukan saja menjejaskan keindahan pantai, malah menyebabkan orang ramai enggan datang kerana kotoran akibat tompokan itu sukar dibersihkan,” katanya ketika ditemui di pantai berkenaan, semalam.

Seorang nelayan Mohammad Yazid Yaacob, 26, berkata, kejadian itu turut mengganggu aktiviti nelayan pantai sepertinya apabila pukat yang ditinggalkan di laut dicemari tompokan minyak yang hanyut sekali gus menjejaskan hasil tangkapan.

Sementara itu, Yang Dipertua MPK Datuk Zulkifli Yaacob ketika dihubungi berkata, pihaknya menerima aduan daripada orang ramai berhubung pencemaran di pantai itu dan kerja pembersihan sudah dijalankan Alam Flora dengan dibantu kakitangan MPK.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 Mac 2015 @ 5:32 AM